Rencana

RUU355: PAS perlu faham betul kehendak titah Diraja

Saya hanya ingin membuat sedikit komen pendek berkaitan soalan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu tahu sama ada MCA dan DAP benar-benar menyokong titah bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sidang Parlimen tahun lepas supaya mahkamah syariah diperkasakan.

Komen saya ini hanya dari sudut pandang DAP, bukan mewakili suara parti keseluruhannya, apatah lagi MCA yang sememangnya bukan parti yang saya anggotai.

Saya menyemak kembali titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dimaksudkan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man.

Memang benar Tuanku ada menyatakan perkara yang berkaitan dengan memperkasa undang-undang berkaitan pentadbiran Islam.

Titah Baginda seperti yang dilaporkan media;

“Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan dan konflik dalam masyarakat.

“Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini.”

Tuanku turut berkata bahawa Baginda mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah, disegerakan.

Bagi saya intipati titah Tuanku cukup jelas iaitu soal ‘kecekapan’ pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama menerusi Mahkamah Syariah.

Atas initpati inilah maka saya tidak fikir mana-mana parti politik akan menolak titah Tuanku. Sebaliknya kita menyokong penuh prinsip tersebut.

Berkaitan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU355) yang dicadangkan oleh wakil Pas iaitu Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, ianya tidak ada kaitan dengan soal meningkatkan ‘kecekapan’ mahkamah Syariah. RUU355 PAS ini hanya menumpukan soal hukuman kepada pesalah jenayah syariah. Iaitu menambah daripada yang sedia ada kepada hukuman yang maksimum.

Ini sememangnya berlainan dari intipati yang dititahkan oleh Duli Tuanku YDP Agong.

Jadi tidak timbul mengapa DAP menerima titah Tuanku, dan tidak perlu menyokong RUU355 cadangan PAS, sebab ia bukan urusan untuk memperkukuh kecekapan mahkamah Syariah sebaliknya ia hanyalah agenda peribadi puak-puak PAS untuk melaksanakan Hudud mereka.

Bukankah Tuanku sendiri sudah bertitah, saya ulangi;

“Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan dan konflik dalam masyarakat.”

Ini mesej jelas menyatakan bahawa, tafsiran berkaitan hal ehwal Islam dan undang-undang Islam tidak harus dibuat oleh individu atau kelompok yang tidak ada autoriti seperti PAS. PAS hanyalah parti politik dan ahli politik yang mudah bermain dengan sentimen keagamaan.

Jika benar Tuanku mahu hukuman jenayah syariah ini ditambah, pastinya baginda akan menyebutnya dengan jelas, malah kerajaan Barisan Nasional sendiri yang seharusnya mencadangkan rang undang-undang (Bil) tersebut di Dewan Rakyat, bukan PAS sebagai rang undang-undang (Bil) Persendirian.

Saya mohon PAS agar tidak bermain dengan titah YDP Agong dalam isu kepartian mereka. Ini soal prinsip untuk mempastikan kecekapan tadbirurus institusi seperti Mahkamah Syariah, ini bukan permainan politik agama PAS. Tolong hormati titah Tuanku. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor