Berita

DAP konsisten bela masyarakat pedalaman, bukan parti politik ‘langgar lari’ – DAP Sabah

KENINGAU, 20 FEB: DAP bukanlah sebuah parti politik ‘langgar lari’ yang hanya muncul di musim pilihan raya dan sewenang-wenang menuntut kerusi untuk bertanding.

Sebaliknya DAP sentiasa konsisten melaksanakan pelbagai program pemerkasaan komuniti melalui aktiviti dan program yang dilaksanakannya seperti projek Impian Sabah, tegas Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin,

“DAP bukan parti yang muncul di musim pilihan raya semata-mata. Kami tolak budaya politik langgar lari.

“DAP juga bukanlah sebuah parti yang buat ceramah dengan cabutan bertuah untuk menarik kehadiran kemudian menuntut kerusi tanpa membuat kerja di peringkat akar umbi,” katanya dalam Bengkel Persediaan Pilihan raya DAP Pedalaman baru-baru ini.

Menurutnya, bengkel itu bertujuan sebagai persediaan DAP untuk bertanding di kawasan berpotensi bagi Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan serta beberapa kerusi negeri di bawah Parlimen tersebut.

Program bangunkan masyarakat pedalaman

Dedah Chan, sepanjang penglibatan aktif DAP di pedalaman Sabah, banyak aktiviti dan program telah dilaksanakan bertujuan mengangkat taraf hidup penduduk setempat yang rata-rata terpinggir daripada arus pembangunan dan ketiadaan keperluan asas.

“Kita secara konsisten telah melaksanakan banyak projek bagi memperkasa komuniti luar bandar dan pedalaman melalui Impian Sabah termasuk menjalankan bengkel-bengkel ekonomi supaya masyarakat setempat mampu meningkatkan taraf kehidupan mereka, kita juga jalankan kem pendidikan dan kem kesihatan,” kata Adun Sri Tanjung itu.

Chan yang juga Pengarah Persediaan Pilihan raya DAP Sabah berkata, kesedaran berpolitik di kalangan rakyat di pedalaman semakin meningkat berdasarkan program dan aktiviti yang telah dijalankan.

“Ahli-ahli kami faham mengenai perjuangan parti. Mereka tahu bagaimana menggunakan media sosial untuk ketengahkan isu.

“Salah satu contoh terbaik ialah isu elektrik di Pensiangan yang bukan sahaja mendapat respon agresif Joseph Kurup merangkap menteri BN dan Ahli Parlimen tetapi juga reaksi dari pihak syarikat SESB untuk menyalurkan elektrik di sana. Inilah yang mampu memberikan perubahan kepada komuniti,” katanya lagi.

Chan turut mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili merangkap Naib Pengerusi DAP Sabah yang telah bekerja keras selama bertahun-tahun dalam mengembangkan sayap DAP di pedalaman.

Bengkel yang diserta 35 aktivis parti itu dianjurkan oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah, Adrian Lasimbang dan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Wong Kah Woh, Setiausaha Antarabangsa DAPSY, Howard Lee, jurulatih PACA iaitu Jim Khong, Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Ginger Phoong dan Setiausaha Organisasi DAP Sabah Henry Shim.

Bengkel ini turut melibatkan penerangan sejarah dan ideologi parti, publisiti dan strategi kempen. – Roketkini.com