Berita

Reformasi perkhidmatan awam perlu mula dari ‘atas’ – Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Usaha penstrukturan semula perkhidmatan awam harus dimulakan dengan pemansuhan jabatan atau agensi kerajaan yang mempunyai tugas bertindih, kata Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan bersama, PKR, Amanah, dan DAP berkata, kerajaan Persekutuan harus memulakan usaha berkenaan dengan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ketika ini mempunyai sembilan menteri dan tiga timbalan menteri.

“Lantikan-lantikan ini hanyalah untuk memenuhi kuota setiap ahli komponen BN dan bukannya atas dasar meritokrasi dan keupayaan melaksanakan tugas.

“Bukan sahaja bilangan menjadi masalah, namun apa yang lebih teruk lagi ialah budaya kerja di bawah pentadbiran kerajaan UMNO-BN yang tiris akibat rasuah.

“Hal ini berbeza sekali dengan kesan budaya kerja di negeri Selangor dan Pulau Pinang yang kini diperintah Pakatan Harapan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Pakatan Harapan turut mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan memansuhkan jawatan duta-duta khas dan penasihat menteri yang bertaraf menteri kerana tiada peranan dalam membangunkan negara selain bertindih tugas dengan perwakilan luar negara.

Selain itu, di peringkat kementerian pula, gabungan pembangkang itu mendesak agar Kementerian Wilayah Persekutuan dimansuhkan ekoran pertindihan tugas dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya.

“Peruntukan belanjawan yang dikhaskan pada Kementerian Wilayah Persekutuan sebanyak RM1.61 bilion perlu diagihkan semula kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam bentuk penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat,” ujar kenyataan itu.

Pakatan Harapan turut mencadangkan supaya jabatan-jabatan tidak produktif seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Biro Tatanegara (BTN) dimansuhkan bagi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.

“PERMATA yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu dimansuhkan dan peruntukan diagihkan semula pada agensi-agensi pendidikan awal kanak-kanak sedia ada,” tambahnya.

Menurut ketiga-ketiga parti tersebut, Pakatan Harapan konsisten memperjuangkan pentadbiran yang efektif malah mampu menguruskan kewangan pentadbiran negeri dengan baik.

Hasilnya, menurut kenyataan tersebut, penjawat awam di negeri yang diperintah Pakatan Harapan seperti di Selangor dan Pulau Pinang menerima bonus yang lebih tinggi berbanding yang diberikan kerajaan UMNO-BN kepada penjawat awam di peringkat Persekutuan.

“Oleh itu, wajarlah Kerajaan UMNO-BN untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam negara dalam keadaan ekonomi negara yang semakin tidak menentu,” ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas cadangan Menteri Kewangan kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dan bekas Setiausaha Agung Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Navoratnam agar perkhidmatan awam distruktur semula bagi meningkatkan kecekapannya. – Roketkini.com