Tulisan Lim Hong Siang bertajuk “Tamatnya zaman kegemilangan DAP?” yang disiarkan oleh Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/columns/372866) sarat dengan persoalan untuk DAP; ada kalanya bersifat sindiran, ada kalanya seperti bertanya diri sendiri.
Hong Siang meminjam suara wakil-wakil rakyat DAP Melaka yang keluar parti baru-baru ini, khususnya pemimpin veteran Sim Tong Him selaku Ahli Parlimen Kota Melaka, untuk mengingatkan pembaca bahawa DAP “semakin terpesong dari prinsip perjuangan asal DAP…(kerana) kerjasama antara DAP dengan musuh tradisinya, Mahathir Mohamad, di samping (Sim) memohon maaf secara terbuka kerana dirinya pernah berkempen untuk PAS.”
Mungkin penulis tersebut lupa bahawa DAP yang wujud pada 18 Mac 1966 itu adalah sebuah parti yang bersifat Malaysian, yang tidak meletakkan keutamaan kepada kaum atau agama, melainkan hak saksama individu/warga. Maka itu istilah Malaysian Malaysia, yang tetap dipegang oleh DAP sehingga hari ini, membawa maksud Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, gender, agama atau wilayah. Malaysia yang diimpikan oleh DAP bukan dikuasai oleh segelintir elit atau kleptokrat atau mana-mana kumpulan kaum atau agama.
PAS dan Mahathir
Atas dasar ini, tidak timbul soal DAP “terpesong dari perjuangan asal”; kecualilah jika ada orang DAP sendiri yang menganggap ia hanya sebuah parti untuk satu kaum, dan tidak bersifat inklusif. Jika sekadar majoriti keahlian terdiri daripada satu kaum, ia tidak menjejaskan prinsip parti asalkan berpegang kepada ideologi.
Tentang soal kerjasama dengan Mahathir dan Bersatu, setakat ini, ia masih bersifat tidak rasmi. Malah, kini Mahathir sibuk menjelaskan “dosa” beliau terhadap DAP dahulu. Jika kisah lama Mahathir menjadi bahan untuk diungkit, bagaimana pula DAP boleh bekerjasama dengan Anwar Ibrahim? Bukankah Anwar sejak 1982 hingga 1998 merupakan orang kanan Mahathir yang tentunya terlibat dengan segala apa kebobrokan yang berlaku pada tempoh tersebut?
Dalam soal bekerjasama dengan PAS sewaktu era Pakatan Rakyat (2008 – 2015), bukankah lebih adil jika mana-mana ahli atau pemimpin DAP yang tidak setuju dengan PAS menyuarakan bantahan itu sepanjang era tersebut? Atau keluar parti di antara 2008 dan 2015? Mengapa keluar parti pada saat ini; pada ketika pilihan raya umum bakal diadakan pada bila-bila masa? Ia masih menjadi misteri, setakat ini.
Benar, tiada siapa yang menjangka pemimpin PAS akan khianati amanah Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Banyak pihak dalam Pakatan merasakan walaupun PAS pernah menimbulkan masalah sehingga berlaku perpecahan Barisan Alternatif (1999 – 2002), mereka menganggap pimpinan PAS bersama Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, tidak akan mengulangi perbuatan yang sama. Rasanya kepimpinan DAP Melaka juga akur dengan keadaan tersebut.
Namun, setelah perginya Nik Aziz, kepimpinan Tuan Guru Hadi Awang kembali kepada perangai lama. Siapa sangka? Jadi, untuk meminta maaf kepada penyokong DAP atas kerjasama lama dengan PAS itu adalah strategi yang kurang matang. Kecualilah ia sekadar berniat untuk memburukkan kepimpinan DAP hari ini.
Politik kaum
Lim Hong Siang turut memetik bekas pemimpin DAP Melaka untuk berhujah bahawa ada orang DAP yang tidak puas hati dengan pimpinan parti kerana “DAP yang selama ini lantang menjuarai hak dan kepentingan bukan Melayu dan non-Muslim, semakin membisu dalam pertikaian yang melibatkan agama dan kaum.”
Tidak pasti sama ada beliau mahu DAP membela kaum bukan Melayu sahaja atau cuba menyindir golongan dalam DAP yang mahu parti memberi keutamaan kepada kaum Cina dalam perjuangannya.
Yang pasti, memang sedikit-sebanyak ada kebenarannya. Ia menyedarkan kita kepada politik pemisahan kaum yang menjadi amalan koalisi Perikatan yang kemudiannya berkembang menjadi Barisan Nasional. Hegemoni ini turut menjadi amalan kebanyakan parti pembangkang walaupun ada usaha untuk menyatupadukan kaum dan agama melalui ideologi.
Namun, tulisan Hong Siang tersasar apabila cuba menyamakan nasib PAS dengan DAP, seolah-olah mengalami masalah yang serupa. Kedua-duanya tidak sama kerana banyak perbezaan prinsip, struktur dan amalan. Hairan juga kerana sewaktu zaman penuh kemanisan hidup dahulu, segala apa yang PAS dan DAP lakukan dalam Pakatan Rakyat semuanya indah belaka di mata para penyokong pembangkang. Mungkin kita semua mudah lupa dalam perkara-perkara tertentu.
Memang benar DAP mempunyai dilemanya yang tersendiri. Tetapi ia bukan dilema kerana bersekongkol dengan Perdana Menteri Najib Razak yang masih dibelenggu skandal mega 1MDB dan UMNO-BN. Juga bukan kerana ia rela bersekedudukan dengan parti pemerintah yang menyebabkan ekonomi dilanda krisis, GST yang menekan rakyat serta nilai ringgit yang menjunam teruk.
Dilema dalaman DAP berkisar tentang keutamaan atau priority para ahli dan pemimpinnya – sama ada mahu kekal sebagai parti kecil yang membela kumpulan yang dianggap dipinggirkan, atau berani melawan badai untuk mengangkat diri sebagai parti nasional yang mewakili semua pihak, kaum, agama, gender dan wilayah di Malaysia.
Masalahnya ialah apabila wacana kita masih berlegar-legar tentang kaum, selama itulah hegemoni kaum-agama akan berkekalan. Amalan dan pelaksanaan ini sudah cukup untuk mengukuhkan kuasa UMNO-BN.
Oleh itu wacana kaum perlu ditolak keluar. Perlahan-lahan jika tidak mampu bergegas segera. Politik identiti tidak salah tetapi banyak kelemahannya. Politik kaum hanya meluaskan lagi diskriminasi dan ketidakadilan. Jadi perlu ada wacana baru untuk keluar daripada kepompong kaum. Bukan mudah tetapi tidak mustahil.
Kek halal dan ideologi parti
Apabila Hong Siang membangkitkan isu kek halal McDonald’s, berus bulu babi, dan demonstrasi yang melibatkan DAP bagi membantah sekatan Donald Trump ke atas tujuh negara Muslim di depan kedutaan Amerika Syarikat, beliau memetik suara-suara dalaman DAP yang menyifatkan pendirian parti sebagai double standard. Tulis beliau, mereka melihatnya sebagai double standard kerana mendakwa pimpinan parti membisu dengan ketidakadilan terhadap orang bukan Islam di Malaysia. Mungkin ada yang marah kerana tidak dapat membawa masuk kek haram ke dalam restoran McDonald’s.
Ironinya, sekitar 2006, DAP telah membuat perubahan besar kepada parti dengan meminda perlembagaannya untuk menukar ideologi sosialisme demokratik kepada sosial demokrasi. Tiada bantahan, tiada kekecewaan, tiada siapa keluar parti. Tiada pemimpin dikutuk atau dikeji.
Sedangkan pindaan itu mengubah wajah parti. Seperti yang tertera dalam Deklarasi Setapak 1967, “The D.A.P is irrevocably committed to the ideal of a free, democratic and socialist Malaysia, based on the principles of racial equality, and social and economic justice, and founded on the institutions of parliamentary democracy.” (DAP komited kepada idealisme sebuah negara Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis, berdasarkan kepada prinsip-prinsip keadilan kaum serta kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan kepada institusi demokrasi berparlimen)
Setelah 40 tahun, DAP tidak lagi menjadi parti sosialis yang demokratik. Kini ia adalah parti sosial demokrasi yang antara lain menegaskan DAP menerima sistem pasaran bebas dengan memastikan kerajaan berhak campurtangan dalam urusan ekonomi bagi memastikan hak rakyat terjamin dan tidak ditindas. Ada juga yang menganggap sosial demokrasi bererti usaha menjinakkan kapitalisme.
Mungkinkah ini mendedahkan bahawa ramai orang DAP kini selesa dengan kapitalisme? Atau rela berubah dari perjuangan asal kerana tidak pernah suka dengan sosialisme?
Atau sebenarnya kerana isu ideologi dan prinsip dianggap besar dan kompleks, maka tidak ramai yang mempedulikannya. Agaknya, kerana itulah isu-isu emosi (tidak semestinya remeh, malah serius) sering menjadi punca perbalahan yang beralaskan prejudis dan prasangka.
Sehubungan itu, persoalan Hong Siang sama ada DAP boleh mengelak daripada mengulangi jejak langkah PAS yang berakhir dengan perpecahan, tidak timbul kerana keadaan dalaman DAP yang berbeza daripada parti yang menggunakan agama sebagai ideologinya. Malah, Hong Siang sebagai wartawan berpengalaman tentunya kenal rapat dengan DAP dan PAS yang berbeza sekali pendekatan dan dinamisme mereka.
Yang lebih penting adalah di luar sana. Yang harus dilihat ialah rakyat dan pengundi. Mereka adalah penentu utama. Sama ada pengundi peduli dengan isu-isu kompleks atau sekadar berminat dengan “berita” di media sosial, mereka tetap menentukan masa depan negara melalui peti undi.
Persepsi memang penting tetapi ia tidak boleh menjadi alasan untuk menggadaikan prinsip parti. Setakat ini, golongan yang menuduh DAP mengorbankan prinsip kononnya kerana mengejar undi Melayu masih gagal menyenaraikan prinsip-prinsip yang didakwa digadaikan itu. Mungkin mereka masih keliru di antara prinsip dan strategi/taktik. – Roketkini.com