Berita

Lagi pengundi mencurigakan di Kluang menjelang pilihan raya

KLUANG, 21 FEB: Rakyat Malaysia perlu sedar mengenai taktik kotor yang digunakan UMNO-Barisan Nasional (BN) bagi memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Berdasarkan tinjauan DAP Johor bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain, Penolong Setiausaha Publisiti DAP negeri, Sheikh Omar Ali berkata, terdapat sekurang-kurangnya 61 pemilih mencurigakan dikenalpasti di beberapa lokasi di sekitar kawasan Parlimen Kluang.

Tujuh daripada puluhan pemilih berkenaan, katanya, tidak menetap di alamat yang telah didaftarkan, malah hasil temu ramah mereka mendapati tuan rumah yang tinggal di situ tidak mengenali nama-nama pemilih terbabit.

Katanya, nama pemilih yang dikenal pasti di Taman Kluang Indah, Taman Pelangi dan Taman Pelangi Jaya itu didapati daripada pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Keempat 2016 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 7 Februari dan berakhir semalam.

“Isu yang timbul seperti ini menyebabkan kami merasa keliru kerana ada nama pemilih yang dipindahkan alamat tapi tuan rumah tidak mengenali mereka.

“Jadi kami di peringkat Pakatan Harapan Kluang mahu timbulkan persoalan kenapa hal seumpama ini boleh berlaku,” katanya dalam sidang media di Pejabat Adun Mengkibol di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili PH Kluang mengesyaki terdapat perancangan kotor pihak UMNO-BN memindahkan pemilih tanpa mengikut prosedur yang betul sebagai taktik untuk memenangi PRU.

Ia adalah antara butiran yang disertakan Adun Mengkibol, Tan Hong Pin, dalam dokumen bantahan yang diserahkan beliau kepada pihak SPR Johor, semalam.

Hong Pin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor sebelum ini mendedahkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin didaftarkan sebagai pemilih menggunakan alamat Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pasing Gudang bersama seorang anaknya dan 12 individu lain.

Katanya, peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa rumah kedai untuk tujuan perniagaan ataupun urusan pejabat tidak boleh dijadikan alamat kekal ataupun alamat pendaftaran pemilih kecuali seseorang itu memang mendiami premis tersebut.

Khaled Nordin bagaimanapun seperti dilaporkan media semalam menafikan tuduhan berkenaan dan mempertahankan tindakannya bertukar alamat daftar pemilih ke pusat khidmatnya itu.

Namun, bagi BERSIH, Adun Permas itu berkemungkinan besar telah melanggar peraturan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana menggunakan alamat pejabatnya sebagai alamat MyKad miliknya dan seterusnya menggunakan alamat yang sama sebagai pemilih.

Menurut pemimpin NGO berkenaan, Maria Chin Abdullah alamat MyKad mestilah didaftarkan dengan alamat kediaman mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007). – Roketkini.com