Berita

Persempadanan semula: Tindakan SPR kecualikan Selangor langgar Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kali kedua tanpa memasukkan DUN Selangor adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming berkata, ia bercanggah dengan Perkara 113 (6) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan sebarang syor persempadanan semula melibatkan negeri-negeri Semenanjung Malaysia harus disemak sebagai satu unit.

“Dengan kata lain, mengikut Perlembagaan Persekutuan, proses persempadanan semula ‘Tanah Melayu’ atau semenanjung Malaysia tidak boleh dibentang di Parlimen tanpa memasukkan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri Selangor kini dalam proses tindakan undang-undang terhadap SPR berhubung syor persempadanan semula DUN negeri itu selepas dibenarkan untuk berbuat demikian oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Disember tahun lalu.

Oleh itu, katanya yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor, SPR wajar menunggu keputusan Mahkamah Tinggi sebelum mengambil langkah seterusnya dalam proses persempadanan semula itu.

“Tindakan undang-undang ini – buat pertama kalinya dicabar oleh kerajaan negeri – telah menghalang SPR daripada melakukan siasatan dan mendengar bantahan terhadap persempadanan semula di Selangor.

“Ia juga penting bagi memastikan semak dan imbang berhubung kemampuan SPR menarik semula syor persempadan semula yang dilakukan secara sewenang-wenangnya bukan sahaja di Selangor, malah seluruh negeri di Semenanjung,” ujarnya.

Jika keputusan memihak kepada kerajaan negeri, katanya, SPR terpaksa merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan, sekaligus melambatkan lagi syor persempadanan semula yang memenangkan Barisan Nasional itu dibentangkan di Parlimen.

“Syor persempadanan semula bagi Semenanjung Malaysia untuk kali kedua ini harus dicabar di mahkamah kerana ia jelas tidak berperlembagaan.

“Tindakan SPR itu jelas menunjukkan agensi itu bukanlah badan bebas seperti yang sepatutnya dan rakyat Malaysia mesti terus menyokong untuk menuntut sebuah badan pilihan raya yang bebas dan utuh,” katanya. – Roketkini.com