Berita

Kementerian henti khidmat 2,000 pensyarah, tapi belanja RM62 juta di UK – Mahasiswa PH

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pemberhentian perkhidmatan 2,000 pensyarah di institusi pengajian tinggi baru-baru ini merupakan satu penganiayaan kepada golongan akademik serta memberi kesan buruk kepada sistem pembelajaran universiti.

Justeru, Mahasiswa Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini mendesak Kementerian Pengajian Tinggi mengemukakan sebab sebenar pemberhentian yang dianggap tidak wajar itu.

Menurutnya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mesti menjelaskan sama ada 2,000 pensyarah itu sebenarnya telah menjadi mangsa kepada pemotongan peruntukan institusi pengajian tinggi dalam Belanjawan 2017.

“Hal ini penting kerana kepelbagaian punca kepada pemberhentian 2,000 pensyarah yang dinyatakan KPT gagal diakses dan diperiksa dengan lebih teliti.

“Satu persoalan yang hangat diperkatakan dan harus dijelaskan KPT adalah sama ada ia disebabkan kekangan wang dari pihak Universiti Awam,” ujarnya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY, Yu Sheng Leong; Pengerusi Mahasiswa Amanah, Ahmad Fadhli Umar dan wakil Mahasiswa Keadilan Malaysia, Naim Brundage.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian juga harus menjelaskan rasional membelanjakan RM62 juta dana pendidikan negara untuk pembinaan bangunan Oxford Centre for Islamic Studies dan auditoriumnya di United Kingdom.

Sedangkan, wang sebanyak itu patut digunakan bagi mengekalkan sebilangan 2,000 pensyarah yang telah diberhentikan itu.

“Mengikut kiraan kasar kami berdasarkan jadual gaji pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn, RM62 juta itu boleh menampung gaji lebih kurang 1,000 pensyarah selama setahun dengan anggaran mereka dibayar RM5,000 sebulan.

“Oleh itu, KPT perlu segera menjelaskan sebab mereka membelanjakan RM62 juta walaupun tahu ia boleh digunakan untuk mengekalkan sekitar 1,000 pensyarah Universiti Awam yang diberhentikan sejak tahun lalu!” ujarnya.

Negara minggu ini dikejutkan dengan pendedahan Kongres Persatuan Akademik Malaysia bahawa seramai 6,000 pensyarah telah diberhentikan akibat pemotongan peruntukan pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi menafikan hal itu dan mendakwa hanya 2,000 pensyarah yang telah diberhentikan perkhidmatan. – Roketkini.com