Berita

Minta 1,000 borang daftar pengundi tapi dapat 100, SPR tak cukup duit?

SHAH ALAM, 10 MAC: DAP Selangor hari ini mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalami kekurangan dana sehingga gagal mencetak borang pendaftaran pengundi mengikut permintaan.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Hannah Yeoh membangkitkan persoalan itu susulan pendedahan di laman sosial berhubung masalah kekurangan borang yang dihadapi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir Kerling.

Menurut status kemaskini laman Facebook Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong pada 3 Mac lalu itu, katanya, JKKK kampung berkenaan hanya menerima 100 daripada 1,000 borang yang dimohon mereka kepada SPR.

Malah, menurut Hannah, proses pendaftaran pengundi baru menjadi semakin sukar apabila SPR enggan melantik Penolong Pendaftar Pemilih dari kalangan DAP.

“Dan sekarang, SPR melengahkan lagi usaha kami dengan menghadkan jumlah pengeluaran borang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya yang juga Adun Subang Jaya, SPR gagal bekerjasama dengan DAP dalam pelbagai kempen pendaftaran pengundi sehingga pihak parti terpaksa membatalkan kebanyakan daripada program berkenaan.

“Adakah tindakan SPR ini berniat untuk mendiskriminasi kami di pihak DAP dan Adun DAP daripada menjalankan kempen pendaftaran pengundi di kawasan-kawasan kami?” soalnya.

Justeru, beliau menuntut supaya SPR memberi penjelasan mengenai persoalan yang dibangkitkan kerana adalah menjadi tugas agensi itu untuk mempermudahkan proses pendaftaran pengundi baru di semua kawasan di seluruh Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti dilaporkan media Jumaat lalu mendedahkan seramai 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi.- Roketkini.com