Berita

Penubuhan DAPSY Pensiangan perkukuh kedudukan DAP tawan kerusi luar bandar

SOOK, 13 MAC: Kedudukan DAP di kawasan luar bandar Sabah semakin kukuh apabila berjaya menubuhkan sayap belia DAP (DAPSY) baru-baru ini yang dilancarkan di Pusat Khidmat Komuniti DAP Pensiangan.

Dalam majlis itu, seramai lebih 30 belia dari Mukim Dalit, Sook dan Tulid menyerahkan borang keahlian sekaligus membentuk Ahli Jawatankuasa DAPSY Pensiangan diketuai oleh Bodrick Paunus.

Dalam pelancaran itu, Ketua DAPSY Kebangsaan Wong Kah Woh berkata, golongan belia harus bangun dan berjuang menentang segala amalan rasuah dan salah guna kuasa kerajaan BN.

“Kuasa orang muda merupakan pemangkin perubahan di Pensiangan dalam pilihan raya akan datang.

“Belia mesti berani ubah dan menjadi pemangkin kepada perubahan. Selagi kita berusaha dengan gigih, tidak ada satu apa pun yang boleh menghalang kita untuk berjaya,” tegasnya.

Ketua DAPSY Pensiangan, Bodrick Paunus dalam ucapannya berkata golongan belia tidak boleh lagi bersikap tunggu dan lihat terhadap segala kelemahan dan kegagalan kerajaan.

“Belia adalah suara masa depan.

“Jangan lagi kita duduk diam dan hanya melihat kelemahan dan kegagalan kerajaan yang mewakili rakyat sekarang,” katanya.

Hadir sama dalam pelancaran tersebut ialah Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Shu Qi, Setiausaha Organisasi DAP dan DAPSY Sabah, Hendry Shim dan Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Bryan Liew.

Menurut Shu Qi, perjuangan demi keadilan Sabah harus menjadi keutamaan.

“DAP sendiri menawarkan satu perjanjian baru yang bukan saja mengikhtiraf hak autonomi Sabah sebagai rakan bersekutu dalam Malaysia tetapi juga komited untuk memulangkan semula hasil pungutan cukai kepada Sabah sebanyak 50%.

“DAP juga komited untuk memperjuangkan hak pengurusan penuh terhadap pendidikan dan kesihatan jika Pakatan Harapan menjadi kerajaan persekutuan,” katanya lagi. –Roketkini.com