Berita

Mahkamah terima hujah Adun DAP, batalkan cukai taksiran di Melaka

MELAKA, 15 MAC: DAP Melaka menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Melaka yang mengisytiharkan kenaikan cukai taksiran yang dikenakan ke atas pemilik premis di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sebagai tidak sah dan terbatal.

Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu secara tidak langsung memberi peringatan kepada pihak berkuasa agar menjalankan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya menyusahkan rakyat.

“Pada awalnya saya membawa perkara ini (kenaikan cukai taksiran) ke Dewan Negeri untuk dibahas, namun tidak diendah. Jadi saya ada berbincang dengan peguam untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

“Penduduk membantah, namun kerana bimbang perniagaan terjejas mereka tak berani membawa perkara ini ke mahkamah, jadi saya sebagai wakil rakyat yang turut terjejas dengan kenaikan itu, buat keputusan untuk bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya kepada Roketkini.

Kenaikan 30 peratus cukai taksiran yang dikuatkuasa MPHTJ pada Julai 2015 itu diisytiharkan Mahkamah Tinggi Melaka pada 19 Ogos tahun lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Mahkamah Tinggi berpuas hati, kenaikan cukai itu adalah tidak sah kerana MPHTJ gagal mengesahkan senarai nilaian terlebih dahulu mengikut Seksyen 143 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Pengisytiharan itu dimohon oleh Khoo yang juga Setiausaha DAP Melaka dan isterinya Lee Wei Cheng yang rumah mereka turut terjejas dengan kenaikan cukai tersebut.

Pada Isnin lepas, Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada panel tiga hakim yang diketuai Datuk David Wong Dak Wah sebulat suara menolak rayuan MPHTJ tanpa kos.

MPHTJ yang diwakili peguam SM Shanmugam ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan menunggu arahan selanjutnya sama ada akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.- Roketkini.com