Berita

Datuk Bandar KL kerja untuk pemaju atau rakyat?

KUALA LUMPUR, 16 MAC: DAP kesal dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang enggan mewartakan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (DPSKL2020).

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, keputusan DBKL itu akan mengakibatkan KL yang sedia ada sesak menjadi semakin teruk ditambah dengan pembangunan yang tidak terkawal.

“(Tindakan DBKL) mengetepikan DPSKL2020 akan memberikan kebebasan kepada kerajaan untuk merosakkan lagi pusat bandar itu dan menjadikan KL sebagai sebuah bandar yang paling tidak berperancangan di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz seperti dilaporkan media hari ini berkata DBKL tidak akan mewartakan DPSKL2020 sebaliknya akan mendraf pelan tindakan untuk pembangunan KL yang baru sehingga 2050.

Beliau memberikan alasan bahawa pelan sedia ada tidak mengambil kira harga hartanah yang meningkat sejak draf awal pelan tersebut dibuat, dan ini kononnya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Kos pegangan tanah adalah sangat tinggi dan kami sudah mencuba untuk mengurangkan kos tersebut kerana harga hartanah pemaju boleh mencecah sehingga RM3,000 kaki persegi di sesetengah tempat,” katanya.

Menurut Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, alasan yang diberikan Amin Nordin berhubung kos hartanah itu tidak menyakinkan malah tidak boleh diterima.

“Sebenarnya, kegagalan untuk mewartakan DPSKL2020 lah yang telah menyumbang kepada peningkatan kos hartanah di KL untuk beberapa tahun yang dulu ekoran pihak pemaju dibenarkan untuk menjalankan pembangunan berdensiti tinggi,” katanya.

“Saya harap dia ingat bahawa dia adalah datuk bandar kepada rakyat dan bukan datuk bandar kepada pemaju,” tambahnya.

Oleh itu, katanya, pembayar cukai di KL harus bangkit mendesak agar DPSKL2020 diwartakan sementara draf pelan baru dilaksanakan oleh DBKL.

“Banyak kawasan hijau di KL dan tanah kemudahan awam telah diambil. Terdapat kesesakan trafik yang teruk ekoran banyak bangunan dibina di kawasan yang sudah sedia ada padat. Mereka marah dengan pembangunan tak terkawal,” katanya. – Roketkini.com