Berita

Harga gula sepatutnya turun, bukan naik. Ini sebab-sebabnya..

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan awal bulan ini mengesahkan harga gula dinaikkan daripada RM2.84 kepada RM2.95 per kilogram.

Kononnya, kenaikan itu disebabkan peningkatan harga gula mentah dunia yang diimport Malaysia.

“Rakyat Malaysia patut berterima kasih, bukannya marah dengan saya,” kata menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dua hari lalu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan hari ini membuktikan sebaliknya.

Berdasarkan kajian yang dibuat, beliau mendapati rupa-rupanya kerajaan selama ini telah membenarkan dua syarikat gergasi yang memonopoli pasaran gula mendapat keuntungan luar biasa.

Sejak 2015, dua syarikat pengeluar itu membeli bekalan gula mentah secara import berdasarkan harga pasaran gula mentah dunia.

Tetapi, berdasarkan carta, harga pasaran gula mentah dunia sekarang ini hanyalah AS$18.16 per 100lbs (45.36 kilogram), berbanding AS$26 pada 2014.

“Jadi, kenapa pula kerajaan BN fikir harga gula mentah patut dinaikkan sehingga RM2.95?” soalnya.

Ia kerana walaupun harga bekalan gula mentah dunia adalah AS$26 pada 2014, syarikat pengeluar masih menjualnya dengan harga RM2.84.

“Harga gula sepatutnya turun, bukan naik, walaupun selepas mengambil kira perbezaan kadar pertukaran (exchange rate) selama ini,” tegas Setiausaha Publisiti DAP itu.

Lebih teruk lagi, kata Tony, dua syarikat itu telah memperoleh keuntungan berlipat ganda semasa kejatuhan mendadak harga pasaran gula mentah dunia pada 2015.

Semasa itu, harga gula jatuh dari AS$26 (Disember 2014) kepada AS$15.06 (Januari 2015), dan kemudian turun serendah AS$10.67 pada Ogos 2015.

“Tapi, mengapa kerajaan benarkan dua pengeluar itu untuk tetap menjual gula pada harga RM2.84 per kilogram sepanjang tahun 2015 dan mendapat untung luar biasa?

“Sebagai perbandingan, walaupun pengeluar membeli gula mentah pada harga AS$17.50 pada 2009 hingga 2011, harga yang dijual hanyalah antara RM2.05 ke RM2.50,” ujarnya.

Menurut Tony, data yang dikeluarkan ini menunjukkan tidak ada sebab untuk kerajaan menaikkan harga gula, kecualilah jika kerajaan mahu terus menguntungkan dua syarikat yang memonopoli pasaran gula di negara ini.

“Rakyat juga tak perlu berterima kasih kepada Datuk Seri Hamzah seperti yang dikatakannya, tapi mungkin patut mengecam kerajaan BN kerana benarkan dua syarikat untung sedangkan rakyat makin susah.

“Kita (DAP) mendesak agar kerajaan bukan saja tarik balik kenaikan gula sebanyak 11 sen, tapi turunkan harga siling sebanyak RM2.84/kg itu, selaras dengan kejatuhan harga gula dunia sejak dua tahun lalu.

“Ini patut dilakukan dengan segera tanpa sebarang pampasan atau subsidi kepada dua syarikat berkenaan!” katanya. – Roketkini.com