Rencana

Debat Mahathir-Nazri tidak perlu permit, bukan berlawan tomoi

Saya membaca kenyataan rasmi Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan yang telah menolak permohonan penganjur program debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz yang akan dianjurkan pada 25 Mac di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kati, Kuala Kangsar.

Dalam kenyataan tersebut Pemangku Ketua Polis Perak menyatakan bahawa Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Kangsar telah menerima permohonan di bawah peruntukan Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) daripada penganjur pada 20 Mac jam 3 petang.

Kenyataan tersebut adalah kesalahan pertama oleh Pemangku Ketua Polis Perak. APA 2012 tidak memerlukan penganjur sesuatu perhimpunan membuat permohonan kepada pihak polis. Seksyen 9 (1) APA 2012 yang dirujuk oleh Pemangku Ketua Polis Perak hanyalah makluman.

Seksyen 9 (1) menyatakan bahawa “Seseorang penganjur hendaklah, sepuluh hari sebelum tarikh perhimpunan, memberitahu Pegawai yang Menjaga Daerah Polis di mana perhimpunan itu hendak diadakan”.

Jelas Seksyen 9 (1) hanya memerlukan penganjur memaklumkan bukan membuat permohonan. Justeru kenyataan Pemangku Ketua Polis Perak bahawa polis menolak permohonan adalah salah dah bertentangan dengan APA 2012.

Seterusnya pemangku Ketua Polis Perak menyatakan bahawa setelah dikaji dan ditimbang sebab-sebab perhimpunan tersebut akan diadakan dan mengambilkira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (ACP Ahmad Termizi bin Hj Abd Haq) telah menolak permohonan tersebut dan akan disusuli dengan keputusan secara bertulis yang akan diserahkan kepada pemohon pada hari ini. Penolakan ini telah dimaklum kepada penganjur semalam.

Ini kesalahan kedua oleh pihak Polis. APA 2012 tidak memberikan sebarang kuasa kepada polis untuk menolak sebarang perhimpunan. APA 2012 sebaliknya menghendaki pihak polis memudahkan dan mengawal perhimpunan yang hendak dianjurkan. Tidak ada satu pun peruntukan dalam APA 2012 yang memberi polis kuasa menolak perhimpunan.

Seksyen 8 APA 2012 menjelaskan tanggungjawab polis iaitu mengambil apa-apa langkah bagi memastikan perhimpunan dianjurkan dengan teratur mengikut Akta. Tidak dinyatakan hak polis untuk menolak.

Pihak polis hanya boleh mengenakan sekatan di bawah Seksyen 15 APA 2012. Itu pun setelah semua proses lain dipenuhi. Apa prosesnya? Selepas menerima makluman dari penganjur di bawah Seksyen 9 (1), pihak polis hendaklah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 12 (1). Pihak-pihak yang berkepentingan boleh membuat bantahan bertulis dan pihak polis boleh mempertimbangkan bantahan yang dibuat untuk membuat sekatan di bawah Seksyen 15.

Alasan bahawa pihak polis telah menerima bantahan secara bertulis dan laporan polis oleh orang awam bukan alasan pihak polis menolak perhimpunan. Bantahan dan laporan polis boleh diambilkira untuk sekatan dibuat bukan menolak perhimpunan. Bantahan juga setelah notis Seksyen 12 dikeluarkan. Notis belum keluar dah ada bantahan, bantahan adalah pra matang yang tak wajar diambil kira. Kelewatan makluman juga bukan alasan menolak perhimpunan.

Jika makluman tidak cukup 10 hari, pihak polis tidak wajar menolak atau memberhentikan perhimpunan sebaliknya berjumpa penganjur seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13 APA 2012. Bincang dan kemukakan cadangan bukan mengeluarkan kenyataan yang jelas bercanggah dengan undang-undang.

Sehingga kenyataan tersebut dikeluarkan, pihak polis terlebih dahulu melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012, bukan penganjur. Polis telah melampaui bidang tugas yang diberikan.

Perenggan terakhir kenyataan tersebut jelas menunjukkan pihak polis membuat ugutan yang tidak wajar. Tanggungjawab pihak polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mana-mana Akta sekali pun ialah menjaga ketenteraman awam.

Saya memohon pihak polis meneliti dahulu peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012 tentang kuasa dan budi bicara. Program perbahasan yang hendak dianjurkan bukan program gusti atau tomoi yang melibatkan perlawanan fizikal. Kedua-dua pihak yang mengambil bahagian bukan samseng jalanan tetapi Menteri dan bekas Perdana Menteri.

Polis perlu lebih munasabah dalam menjalankan kuasa mereka. – Roketkini.com

*Zulhazmi Shariff merupakan seorang peguam, merangkap Ahli Biro Guaman DAP Kedah