Berita

Lebih baik Kabinet tawarkan ganjaran RM100,000 untuk esei jelaskan kleptokrasi negara

KULIM, 24 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan cadangan pertandingan esei atau posting media sosial oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebagai tindakan terdesak parti perkauman itu untuk meracuni fikiran rakyat negara ini.

“Ahli politik yang bertanggungjawab dan dihormati rakyat hanya membuat tuduhan yang berat terhadap orang lain apabila mereka mempunyai bukti.

“Tetapi Annuar Musa tidak, dia sebaliknya tergolong dalam kategori hina yang melontarkan tuduhan pada orang lain dan kemudian mencari bukti untuk menyokong dakwaan tersebut,” kata Kit Siang dalam ucapan di sini, semalam.

Annuar Musa dilaporkan mahu manawarkan ganjaran RM10,000 bagi pertandingan menulis esei atau posting laman sosial terbaik dengan tujuan untuk menggambarkan Kit Siang sebagai seorang yang kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menegaskan, pertandingan yang dianjurkan itu menunjukkan bahawa Annuar Musa tidak mempunyai bukti langsung untuk menuduh beliau sebagai anti-Melayu dan anti-Islam sehingga sanggup mendanai pertandingan seumpama itu.

“Adakah dia bersedia untuk membayar semua ganti rugi kepada semua peserta pertandingan berkenaan dalam kes-kes fitnah?” soalnya yang sedang mendapatkan nasihat pihak berkaitan bagi tindakan undang-undang terhadap Annuar Musa.

Malah, sebagai reaksi balas, Kit Siang mencadangkan Kabinet menawarkan hadiah sejumlah RM100,000 bagi pertandingan menulis esei atau posting media sosial mengenai “Adakah Najib seorang kleptokrat?” atau “Adakah Malaysia sebuah negara kleptokrasi global?”

Ia berikutan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini menolak soalan Kit Siang dalam persidangan Parlimen mengenai langkah yang akan diambil kerajaan untuk membersihkan nama negara daripada gelaran kleptokrasi.

“Jika anggota Parlimen tidak boleh bertanya soalan ini di Parlimen, maka rakyat Malaysia harus bertanya soalan ini kepada Najib dan menteri-menteri Kabinet.

“Dan inilah sebab mengapa Kabinet patut menaja pertandingan esei atau posting media sosial mengenai ‘Adakah Najib seorang kleptokrat?’ Atau ‘Adakah Malaysia sebuah negara kleptokrasi global?’ bagi mewujudkan rasa cinta dan patriotik rakyat terhadap Malaysia,” katanya. – Roketkini.com