Berita

Parlimen tidak perlu jadi seperti kilang, tergesa-gesa proses undang-undang

KUALA LUMPUR, 6 APR: Sebarang rang undang-undang (RUU) tidak wajar diluluskan secara tergesa-gesa.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, Ahli Parlimen perlu diberikan masa secukupnya untuk membuat persediaan awal sebelum membahaskan sesuatu perkara di Dewan Rakyat.

“Sebagai contoh, RUU Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dibaca pada kali pertama kelmarin.

“Semalam, RUU ini telah dibawa untuk bacaan kali kedua dan dibahas. Ahli-ahli Parlimen tidak diberi masa yang cukup untuk menghadam isu-isu penting berhubung dengan perkara yang dibangkitkan itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ia bukanlah cara terbaik untuk Parlimen bersidang kerana ia akan menjejaskan kualiti perbahasan.

“Dalam kata lain, Ahli-ahli Parlimen sebenarnya dihalang daripada menjalankan kewajiban dan tanggungjawab secara profesional. Parlimen Malaysia juga tidak akan mencapai status taraf kelas dunia yang dihasratkan jika ianya diuruskan seperti ini,” ujarnya.

Dewan Rakyat mencipta sejarahnya apabila bersidang hampir 20 jam, bermula 10 pagi semalam dan berakhir pada 5.05 pagi ini.

Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP berkata, Parlimen tidak sepatutnya beroperasi seperti kilang.

Beliau memberi contoh peristiwa yang berlaku semalam di mana sembilan RUU disenaraikan untuk dibahas serta diluluskan dalam tempoh hanya sembilan jam.

“Kerajaan tidak seharusnya memperalatkan Parlimen untuk kepentingannya. Sesi persidangan Parlimen boleh dipanjangkan jika tidak cukup masa untuk meluluskan semua rang undang-undang yang dibentangkan itu,” katanya.

Namun, oleh kerana keangkuhan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN), katanya yang Timbalan Pengerusi DAP Perak, institusi Parlimen dipermainkan dan diperkecilkan secara terang-terangan.

“Bukankah ini juga satu bentuk kezaliman terhadap rakyat apabila undang-undang diluluskan tanpa keperincian,” ujarnya. – Roketkini.com