Berita

Satu kampung hilang hak mengundi gara-gara persempadanan semula

JEMENTAH, 6 APRIL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya menarik dan mengkaji semula syor persempadanan pilihanraya yang telah menyebabkan sebuah kampung melibatkan 876 pemilih kehilangan hak mengundi mereka.

Ini kerana, syor persempadanan SPR yang diterbitkan pada 8 Mac lalu itu telah menyebabkan Kampung Teratai yang bersempadanan dengan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri telah tercicir dari senarai daerah mengundi.

Gesaan ini dibuat dalam satu kenyataan bersama empat Adun DAP Johor iaitu Adun Mengkibol, Tan Hong Pin; Adun Jementah, Tan Chen Choon; Adun Bekok, Lim Eng Guan dan Adun Tangkak Ee Chin Li.

Menurut kenyataan itu, pada Pilihan Raya Umum ke-13, Kampung Teratai telah dibahagikan kepada dua kawasan Dun iaitu Dun Jementah dan Bukit Serampang.

Bagaimanapun pada Mei 2016, SPR telah “menyatukan” semula kampung tersebut di bawah Dun Bukit Serampang dengan mengubah pembahagian kawasan pilihan raya Persekutuan dan Negeri melalui kuasa yang diberikan oleh subseksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19].

“Dalam Syor Pertama Persempadanan Semula yang dipamerkan pada bulan September 2016 yang lalu, Kampong Teratai diletakkan pula di dalam DUN Gambir.

“Bagaimanapun, perkembangan terbaru bagi kampung ini ialah tidak disenaraikan di mana-mana bahagian pilihanraya di negeri Johor seperti yang terkandung dalam Syor Kedua Persempadanan Semula yang dipamerkan mulai 8 Mac 2017 yang lalu,” jelas mereka.

Dalam kata lain ujar mereka, kesemua 876 orang pemilih di Kampong Teratai tidak lagi dapat menunaikan hak mereka sebagai warganegara untuk mengundi dan memilih Ahli Dewan Negeri atau Ahli Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“SPR wajar memberi penjelasan kepada kita sebab Kampong Teratai “hilang” dalam syor yang dipamerkan. Adakah kampung ini dijadikan catur terakhir yang digunakan menjejaskan keputusan Pilihanraya Umum akan datang di beberapa DUN sekitar?” soal kenyataan itu lagi. -Roketkini.com