Berita

Dakwaan PAS terima RM90 juta dana 1MDB, bila mahu saman?

KUALA LUMPUR, 7 APR: PAS yang mengaku memperjuangkan Islam di negara ini harus segera menjawab dakwaan bahawa terdapat sejumlah wang yang berasal dari 1MDB mengalir ke akaun seorang tokoh yang rapat dengan pemimpin utamanya.

Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pemimpin PAS harus segera menjawab dakwaan itu kerana ia melibatkan martabat Islam yang sering dilaung-laungkan parti itu.

“Pemimpin PAS sepatutnya tahu bahawa kesalahan rasuah itu amat berat di sisi agama. Untuk tidak mencetuskan imej buruk terhadap Islam, pemimpin PAS harus segera menjawab dakwaan ini,” katanya yang juga Adun Mentakab kepada Roketkini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Naib Pengerusi PKR, Rafizi Ramli bahawa terdapat sejumlah wang yang berasal daripada syarikat terpalit skandal, 1MDB masuk ke akaun seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan tertinggi PAS.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam kenyataan hari ini turut mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesan aliran tunai berkenaan.

Menurut beliau, ia dikesan selepas pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadap aliran wang dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindakan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, bekas pemimpin PAS, Datuk Husam Musa turut mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada UMNO melalui akaun Affin Bank. Ia rentetan daripada laporan laman pembocor maklumat, Sarawak Report.

Ekoran itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan media pada 9 Februari lalu, mahu menyaman Husam sebagaimana yang didakwa dibuat PAS sebelum ini terhadap Sarawak Report.

Bagaimanapun, sehingga kini, tidak ada saman yang dikeluarkan PAS terhadap Husam dan Sarawak Report, yang ada hanyalah surat tuntutan oleh parti Islam itu terhadap laman kendalian Clare Rewcastle Brown tersebut pada 13 Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang berkata, jika PAS berada di jalan yang benar, parti Islam itu perlu menyaman Husam dan Sarawak Report seperti yang dijanjikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

“Sepatutnya PAS menyaman Sarawak Report bagi membersihkan nama baik parti itu dan turut menyaman Husam jika benar dakwaan itu hanya fitnah. Janganlah gunakan agama hanya sekadar untuk berpolitik,” ujarnya. – Roketkini.com