Berita

Kekang kebebasan bersuara mahasiswa ancam sistem demokrasi negara – DAPSY

KUALA LUMPUR, 7 APR: Kebebasan mahasiswa dalam menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai skandal yang melanda negara tidak harus dikorbankan semata-mata untuk menutup kelemahan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Pengarah Hal Ehwal Varsiti Sosialis Muda DAP (DAPSY), Leong Yu Sheng mahu agar kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib Razak menghentikan penindasan terhadap mahasiswa yang prihatin terhadap masalah negara.

“Kerajaan mahupun universiti sepatutnya menghormati hak bersuara dan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah tidak salah sekiranya mahasiswa mahupun rakyat jelata menyuarakan kritikan dan bantahan mereka terhadap isu-isu negara terutamanya dalam kes penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Universiti Malaya (UM) mengenakan hukuman dalam bentuk denda terhadap empat ahli jawatankuasa Persatuan Untuk Belia Baru UM (UMANY) iaitu Ho Chi Yang, Tan Jia You, Lau Li Yang dan Chua Hun Ti.

Mereka turut dikenali sebagai UMANY4.

Tindakan itu diambil UM susulan rasa tidak puas hati institusi itu terhadap kelantangan empat mahasiswa tersebut yang mempamerkan plakad mengkritik syarikat terpalit skandal, 1MDB dalam program anjuran UM dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada Mac tahun lalu.

Dalam kes berasingan, mahasiswa Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Ariffin Amin hari ini didenda RM200 dan diberi amaran oleh pihak universiti terbabit ekoran penglibatanya dalam perhimpunan “Tangkap MO1”.

“MO1” atau “Malaysian Official 1” adalah entiti yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat bagi merampas lebih AS$1 bilion aset yang didakwa diseleweng dari syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

Dana AS$681 juta yang berasal daripada 1MDB didakwa pihak penguasa itu dipindahkan ke akaun bank milik “MO1”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan bahawa “MO1” yang disebut sebanyak 36 kali dalam laporan DOJ adalah Najib Razak.

Mengulas lanjut, Yu Sheng berkata, tindakan universiti yang mengikut telunjuk kerajaan UMNO-BN itu dalam mengekang suara lantang mahasiswa disifatkannya sebagai tidak adil dan ancaman terhadap sistem demokrasi negara.

“DAPSY sekali lagi bersolidariti bersama UMANY4 dan saudara Ariffin Amin untuk memperjuangkan kebebasan dan hak mahasiswa untuk melawan segala penindasan politik daripada pihak kerajaan melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti,” ujarnya. – Roketkini.com