Berita

Jangan peralat agama demi kepentingan politik – Tun Dr Mahathir

SHAH ALAM, 8 APRIL: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) membenarkan usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pindaan Akta 355 atau RUU355 dibawa ke Parlimen hanya sebagai alat meraih kepentingan politik semata-mata.

Menurutnya, usul Hadi itu telah dijadikan alat politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan hanya menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Kenyataan itu jelas dilihat berdasarkan setelah beberapa kali usul tersebut ditangguhkan sebelum ini dan apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menunda perbahasan RUU355 pada Khamis lalu.

“Ia (RUU355) nak digunakan untuk politik, politik sebuah parti saja.

“Saya harap dia (Najib Razak) hilang semua undi, pasal dia menipu nak guna agama nak dapat sokongan tapi gagal,” katanya seperti dilapor Malaysiakini, hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, RUU355 itu juga tidak berkaitan dengan agama Islam kerana agama tidak meminta penganutnya melakukan sesuatu untuk memecah-belahkan masyarakat.

“Sebenarnya ini bukan ada kaitan dengan agama Islam. Agama Islam tidak meminta kita buat sesuatu untuk pecah belahkan orang Islam.

“Dalam negara yang berbilang kaum, berbilang agama, kita mesti sensitif terhadap agama lain kerana Islam hormati agama lain. Kita tak boleh buat sesuatu yang memaksa orang lain, berasa takut kepada agama Islam,” ujar beliau.

RUU355 alih perhatian rakyat kepada isu sebenar

Semalam, pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, polemik melibatkan usul persendirian Hadi itu dicipta untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang melanda negara.

Jelas beliau, isu RUU355 dijaja demi memainkan sentimen umat Islam negara ini.

“Majoriti umat Islam sendiri tak faham isu sebenar termasuk mereka yang diusung dan dibawa berdemonstrasi.

“Tetapi ia sangat emotif sengaja dicipta untuk memainkan semangat dan sentimen umat Islam yang cintakan agama mereka sedangkan ia bukan isu pokok,” katanya ketika dihubungi Roketkini, semalam.

Dr Aziz berkata usaha meningkatkan dan memperkasa Mahkamah Syariah bukan sekadar menaikkan kuasa menghukum sebaliknya perlu mampu menangani isu utama dan kritikal dalam kalangan umat Islam.

“Sepatutnya ia menangani isu yang lebih utama dan kritikal khususnya meningkatkan kemampuan kakitangan dan kebajikan mereka.

“Kita tahu di setengah negeri, peguam bukan muslim masih tidak dibenarkan untuk beramal di mahkamah syariah sedangkan Islam itu sendiri universal dan mengutamakan keadilan,” ujar Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu. –Roketkini.com