Berita

UMNO buat bantahan palsu, ribuan anak muda Selangor dinafi hak mengundi?

SERDANG, 8 APRIL: Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming hari ini mempersoal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan UMNO membuat bantahan palsu terhadap pengundi muda yang baru berdaftar sebagai pemilih.

“Kami telah menerima bukti bahawa bantahan di Selangor ini difailkan oleh ahli-ahli UMNO dan entiti berkaitan UMNO.

“SPR perlu menghentikan perkara ini serta-merta, hentikan semua bantahan palsu tak berasas yang sedang berlaku di Selangor saat ini,” gesanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Ong, sehingga suku ketiga tahun 2016, sejumlah 4,694 bantahan telah diterima oleh SPR manakala pada suku keempat pula menyaksikan sejumlah 2,550 bantahan dibuat.

“Dari 4,694 bantahan, 94 peratus atau 4,427 bantahan telah difailkan di Selangor. Ini menunjukkan mereka menumpukan bantahan ini di Selangor,” kata beliau.

Ahli Parlimen Serdang itu menjelaskan, analisa yang dari suku pertama sehingga suku ketiga tahun 2016 itu mendapati, 30 daripada 36 kawasan pilihanraya yang dibantah itu merupakan kerusi yang ditandingi UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

Apa yang menarik perhatian, 92.8 peratus pemilih baru yang dibantah merupakan pengundi berketurunan Cina, 5.8 peratus pengundi India dan 1.2 peratus pengundi Melayu.

Bagi suku keempat tahun 2016 pula, sejumlah 2,550 bantahan telah dibuat di Selangor melibatkan 24 kerusi.

“20 daripada 24 kerusi atau 83 peratus dariadanya merupakan kerusi yang ditandingi UMNO pada pilihanraya 2013,” jelas Dr Ong.

Daripada jumlah 2,550 itu kata beliau, 14.2 peratus adalah pengundi Melayu, 79.1 peratus pengundi Cina dan 6.3 peratus pula pengundi India.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak menentang hak untuk mana-mana pihak membuat bantahan terhadap pengundi, bagaimanapun, ia perlulah dibuat berdasarkan kes yang kukuh.

Misalnya, kata Dr Ong, seperti bantahan yang dibuat di Johor melibatkan pendaftaran beramai-ramai di premis atau rumah yang meragukan.

“Dalam kes di Selangor, kami telah terima banyak aduan tentang berdasarkan alasan palsu seperti ‘alamat pengundi tidak dapat ditemui’ atau ‘pengundi tidak dikenali penduduk setempat’ sedangkan  pembantah sendiri tidak pernah datang melawat pengundi di alamat tersebut,” katanya lagi. -Roketkini.com