Berita

RUU355: Tidak boleh ubah rangka Perlembagaan dengan majoriti mudah

KUALA LUMPUR, 11 APR: DAP menegaskan bahawa pendiriannya menolak usul persendirian PAS bagi meminda Akta 355 atau rang undang-undang (RUU) 355 dibuat ekoran bimbang ia akan merubah ciri dan identiti asal Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, RUU355 jelas tidak berperlembagaan kerana bertentangan dengan semangat Merdeka, teras Perlembagaan Persekutuan serta asas yang membentuk Malaysia.

“Tambahan pula, secara teknikal dan prosedurnya, adalah salah untuk mengubah rangka perlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan RUU biasa yang memerlukan majoriti mudah ahli Parlimen ketika proses pengundian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan kata lain, menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, hanya 51 undi daripada ahli Parlimen diperlukan untuk meluluskan usul tersebut jika 100 ahli Parlimen yang hadir pada hari pengundian usul tersebut.

“RUU yang penting seperti itu, pindaan perlembagaan dengan jumlah 148 ahli Parlimen (daripada 222) diperlukan, lebih-lebih lagi apabila RUU itu meningkatkan hukuman penjara kepada 30 tahun yang mana lebih tinggi daripada hukuman jenayah sedia ada,” ujarnya.

Selain meningkatkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, RUU355 juga bertujuan untuk meningkatkan hukuman denda maksimum kepada RM100,000 dan 100 sebatan.

Usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sehingga mencetuskan kemarahan pihak pembangkang yang mendakwa parti Islam itu sengaja mencetuskan polemik berhubung usul berkenaan.

Ia juga didakwa menjadi alat politik bagi PAS dan sekutu barunya UMNO untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14. – Roketkini.com