Berita

Kerajaan Pahang digesa hentikan projek Empangan Telom

KUANTAN, 18 APR: Kerajaan negeri Pahang digesa memikirkan semula kesan buruk terhadap masyarakat Orang Asli dan alam sekitar jika projek Empangan Telom di Pos Lanai dekat Kuala Lipis tetap diteruskan pembinaannya.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, projek empangan yang akan menghasilkan tenaga elektrik 132 megawatt (mW) itu jika dilaksanakan akan memusnahkan lebih tujuh kampung Orang Asli di situ.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

Selain itu, katanya yang juga Adun Mentakab, projek empangan itu turut dibimbangi akan memusnahkan hutan seluas 7,600 hektar serta ekosistemnya yang menjadi sumber pendapatan Orang Asli.

Kampung-kampung yang didakwa akan terjejas adalah Kg Kolam, Kg Bakir, Kg Lanai Baru, Kg Perangkap, Kg Harong dan Kg Gentir.

Malah, menurut Tengku Zulpuri, penduduk di kampung-kampung berkenaan berasa tertipu kerana hanya dimaklumkan mengenai projek empangan terbabit selepas setahun diarahkan berpindah ke Pos Pantos pada 2012.

“Sebelum berpindah, interim sawit yang dijanjikan kepada penduduk adalah sebanyak RM600 sekeluarga. Namun, selepas mereka berpindah, mereka hanya dapat RM200 sahaja,” katanya dalam ucapan pada sesi persidangan Dewan Negeri di sini, semalam.

Justeru, beliau menggesa supaya projek empangan yang akan dibina Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu difikirkan semula kewajarannya selaras dengan titah Diraja agar pemuliharaan alam sekitar diberi penekanan penting dalam setiap agenda pembangunan. – Roketkini.com