Rencana

Berapa lama lagi Bangsa Malaysia perlu bertangguh?

Jarang-jarang sekali kita mendengar perkataaan “Bangsa Malaysia” dalam masyarakat. Apatah lagi dengan keadaan politik yang gila seperti sekarang.

Baru-baru ini wacana bangsa Malaysia hangat kembali di media sosial. Hal ini berlaku apabila seorang pelajar telah menekankan kepentingan bangsa Malaysia di program Transformasi Nasional 20150 (TN50) bersama Khairy Jamaluddin dan juga Liow Tiong Lai.

50 tahun yang lalu impian yang membara telah melahirkan idea yang kemudiannya menjadi asas prinsip perjuangan parti. Idea di mana Malaysia ini milik rakyat Malaysia dalam erti kata lain Malaysian Malaysia. Lalu berlakulah wacana demi wacana membincangkan identiti dan kebudayaan Malaysia.

Wacana ini menjadi begitu hangat sehinggalah berlakunya perdebatan pada 1968 di antara Lim Kit Siang dan juga Prof Syed Naquib al Attas di Auditorium MARA, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Oleh sebab, idea Malaysian Malaysia terlalu menular ke akar masyarakat​.

Idea ini kemudian diciplak dan dijadikan sebagai dasar negara dibawah Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya hari ini dirosakkan dan dibusukkan oleh Najib Razak.

Jika dibaca dan diteliti, bangsa Malaysia membawa satu mesej yang sama iaitu kepentingan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati antara satu sama lain tanpa sifat prejudis.

Benar, memanglah sangat sukar untuk memberi satu definisi kekal tentang apa itu bangsa Malaysia. Namun jika kita teliti lebih tuntas, bangsa Malaysia itu lebih sebagai satu panggilan. Satu panggilan di mana masyarakat yang ingin bergerak luas melebihi horizon perasaan cinta mereka terhadap negara.

Perasaan mendalam ini hanya timbul ketika peristiwa tertentu seperti menyertai perhimpunan BERSIH. Suasana dan pengalaman menyertai perhimpunan itu sangatlah aneh apabila kesemua peserta melayan orang ramai dengan baik sekali.

Walaupun LRT sudah penuh mereka akan berhimpit supaya dapat memberi ruang, apabila duduk bersama di bangku jalanan mereka akan berkongsi makanan dan berborak walaupun tidak saling kenal-mengenali. Dalam keadaaan ini mereka menyahut panggilan bangsa Malaysia itu sendiri tanpa sedar.

Antara perkara pelik yang timbul di era modernisme adalah kepercayaan bahawa perkauman nasionalisme dapat ditransformasi menjadi satu ideologi politik. Hal ini berlawanan dengan intipati bangsa Malaysia itu sendiri. Persamaan intipati ini telah menyebabkan terbentuknya permikiran yang sangat jelik iaitu zionisme atau di Malaysia, Umnoisme.

Kita perlu berfikir secara mendalam tentang perkara ini kerana ideologi perkauman itu mengugat jalinan perpaduan sesuatu tempat. Keadilan sosial adalah sesuatu yang harus diletakkan paling tinggi, untuk memihak kepada satu kaum itu tidak masuk akal dan tidak adil.

Teras kepada perpaduan haruslah berpaksikan kebebasan, kesamarataan dan juga solidariti dan hanya dengan tiga prinsip ini sesuatu negara dapat berkembang pesat.

Akhir sekali, oleh kerana asas prinsip Malaysian Malaysia yang sudah bertapak lama, ukirlah apa jenama atau nama sekali pun namun intipatinya tetap Malaysian Malaysia. Walaupun dikutuk, dikecam, dihina, dan difitnah tetapi DAP masih kental kepada prinsip-prinsip perjuangan parti.

Oleh sebab prinsip ini wacana-wacana yang dibawa oleh DAP sangat dalam dan dekat kepada masyarakat. Kesimpulannya, selagi wujud hubungan perkauman dan kuasa, ia pasti seiring dengan kezaliman .

Tugas kita sebagai rakyat adalah untuk bersama, berganding bahu demi demokrasi, mempertahankan keadilian dan menjunjung integriti untuk Malaysia milik rakyat Malaysia.

Bersusah-susah mendaki bukit,
Tanah yang kontang dijadi lembah,
Walau berkecai bumi dan langit,
Prinsip dan perjuangan tidak akan dirombah.

*Shukri Mokhtar adalah Ahli Jawatankuasa DAPSY Subang