Berita

Khianat rakyat kerana politik, jangan sampai Noh Omar jadi MB Selangor

KUALA LUMPUR, 20 APR: Ahli Majlis Selayang, Edry Faizal mengingatkan supaya kerajaan persekutuan tidak mengkhianati tanggungjawab mereka kepada rakyat pembayar cukai untuk memberikan kemudahan infrastruktur yang sewajarnya.

“Tindakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen yang Barisan Nasional (BN) telah tewas menunjukkan sifat hasad dengki yang melampau dan khianat terhadap rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, tindakan menteri UMNO itu juga menunjukkan pilihan raya semakin hampir dan beliau semakin terdesak melakukan apa saja untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

“Jika beginilah sikapnya, seharusnya dia ditewaskan terus dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Tegas Edry, hasil kekayaan negara atau negeri yang digunakan untuk pembangunan infrastruktur adalah hak kesemua rakyat.

“Kekayaan kerajaan adalah kekayaan rakyat, bukannya dari akaun peribadi MO1 (Malaysian Official 1) atau poket mana-mana ahli politik. Maka setiap rakyat berhak menikmatinya tidak kira apa pun kecenderungan politik mereka.

“Sungguhpun amalan BN memperguna harta rakyat Malaysia seolah-olah duit mereka sendiri itu bukan lagi rahsia, namun tindakan terbaru KPKT ini menyerlahkan lagi betapa busuknya sifat dengki yang semakin membengkak di kalangan ahli politik BN,” ujarnya.

Menurut Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu, sebarang peruntukan atau bantuan perlu disalurkan mengikut keperluan dengan wajar dan adil.

Beliau mengambil contoh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang yang dimenangi BN terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di mana perkhidmatan sama-rata diberikan tanpa mengira parti politik.

“Jika sikap buruk Menteri KPKT, (Tan Sri) Noh Omar ini ditiru oleh PBT, dan kutipan sampah hanya dilakukan mengikut kecenderungan politik sesuatu kawasan, bukankah mala petaka jadinya,” katanya. –Roketkini.com