Rencana

Pemuda UMNO Johor patut malu mangsakan rakyat demi politik

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Saudara Hahasrin Hashim patut bersyukur kerana dengan ruang dan peluang untuk berkhidmat dengan agensi negeri, beliau sepatutnya maklum dan sedar akan halangan yang dilakukan terhadap Adun Pembangkang.

Setiap kali mesyuarat penuh di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diwakili oleh Adun pembangkang, pihak majlis tidak membenarkan wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat ini masuk dan menyertai mesyuarat dan perbincangan dengan bebas mengenai hal ehwal tempatan.

Kemudian beliau mendakwa Adun pembangkang ‘Tin Kosong’ (cakap kosong), tak buat kerja dan bermacam lagi.

Kami tidak sekali-kali mahu menyalahkan PBT atas isu ini, kami sedar tangan mereka terikat dan mulut mereka dikunci daripada menyatakan hak dan kebenaran.

Adun Pembangkang di Johor dilayan hina seolah-oleh mereka adalah musuh PBT. Aduan yang dibuat oleh Adun pembangkang dilihat sebelah mata, wakil rakyat hendak berjumpa, Yang Dipertua sering mengelak, surat tidak dibalas, jika dibalas, sudah berkurun lamanya.

Malah apa sahaja aduan yang dibuat, mereka gambarkan imej adun pembangkang hanya tahu mengkritik. Macam musuh PBT.

Mereka ikat tangan kaki Adun pembangkang, kemudian mereka bilang Adun tidak buat kerja. Ini adalah sikap ‘siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri’ – Kleptoktrasi. Kes jadi pencuri ini pun bukan DAP fitnah tetapi ia sudah berlaku, fakta yang semua orang tahu.

Pemuda UMNO ini hanya wira untuk mempertahankan pemimpin elit UMNO, bukan lagi wira rakyat yang mendesak kepimpinan UMNO untuk surut memahami kehendak rakyat. Kerana itu, pemuda seperti Hahasrin ini menggelabah bila bosnya dikritik, bukan menggelabah dengan masalah rakyat.

Dari lima strategi yang dikatakan oleh Hahasrin, ia sekadar perubahan kulit yang tidak akan memberi apa-apa impak selagi PBT menjadi ‘alat’ BN.

PBT di Johor dijadikan alat untuk menyekat peranan Adun pembangkang. Undang-undang ( Akta 171 Bahagian 4, Perjalanan Urusan Pihak Berkuasa Tempatan, No 23 ) membenarkan pemastautin sesuatu kawasan (pembayar cukai) menyertai Mesyuarat Penuh PBT, ini termasuklah wakil rakyat.

Maka, halangan yang wujud seperti ini bukan ciri-ciri utama reformasi.

Ciri utama reformasi adalah menjadikan PBT sebagai agensi mudah akses oleh semua pihak. Dengan akses yang bebas dan adil, barulah fungsi PBT dapat diperkukuh dan diperluas.
Bukan menampal slogan PBT kreatif, inovatif yang akhirnya masih mengamalkan dasar dan sistem yang lapuk. Inilah yang pemuda UMNO gagal fahami makna reformasi.

PBT dan Ahli Majlis seharusnya profesional dan diberi kebebasan untuk menjalankan tanggungjawab mereka tanpa halangan dan kecenderungan politik kepartian, bukan menjadi alat kepada parti UMNO-BN.

Hahasrin mengatakan bahawa hujah saya mengenai Bas Muafakat Johor tidak ada fakta, saya tertanya-tanya sejak bila pemuda UMNO menghormati fakta?

Fakta yang saya kemukakan adalah rungutan dan persoalan rakyat mengenai liputan kemudahan ini. Rungutan rakyat ini haruslah disemak dan dikaji.

Jika dikatakan bahawa usaha Bas Muafakat Johor ini masih dalam tempoh kajian (uji kaji), maka tak perlulah bertempik sorak mengatakan usaha ini sudah berjaya.

Justeru siapa yang ‘Beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh’?

Sebagai rujukan dan perbandingan, liputan perkhidmatan Bas Smart Selangor hingga Ogos 2016, sebanyak 2.8 juta telah menggunakan perkhidmatan tersebut sejak dilancarkan pada 2015. Peruntukan yang hanya RM3.5 juta meningkat sebanyak RM10 juta dan untuk tahun 2017 meningkat lagi sebanyak RM20 juta apabila laluannya mencakupi kawasan luar bandar dan kampung.

Saya tidak mahu memuji Selangor keterlaluan kerana saya sedar negeri saya lebih penting, Johor. Namun demikian, saya rasa dasar keterbukaan kerajaan Selangor tidaklah sampai ingin menggadaikan tanah dan kedaulatan negeri kepada pelabur asing. Ini asas yang harus semua negeri sedar.

Kita di Johor jangan malu mengikut dasar yang baik, kerana ianya memberi manfaat kepada rakyat. Sepertimana UMNO Johor menciplak idea Bas Percuma ini, namun kita setuju sebab ia baik untuk rakyat.

Kita tidak menolak apa-apa pembangunan, tetapi caranya harus betul dan adil. Perlu jelas perbezaan antara pelaburan dengan penggadaian.

Kerajaan negeri telah menetapkan pembangunan rumah mampu milik 40 peratus untuk kuota Bumiputera, tetapi dasar ini tidak terpakai dalam pembangunan Forest City. Kerana Forest City dijadikan sebagai Zon Antarabangsa.

Menjadikan Forest City sebagai Zon Antarabangsa hingga secara automatiknya terlucut dasar 40 peratus kuota bumi adalah kerja silap mata kerajaan UMNO-BN, adakah ini kerja parti DAP?

Pada masa yang sama, rakan Menteri Besar, Datuk Khaled Nordin iaitu Tan Sri Noh Omar, menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membuat arahan untuk membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas.

Ini adalah mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 17 Mac.

Dalam surat itu, menyatakan bahawa kerajaan tempatan (PBT) diarahkan untuk “membatalkan projek-projek BP satu tahun 2017 yang telah diluluskan kepada PBT di kawasan-kawasan parlimen bukan BN”

Bermakna, semua lawatan MB ke kawasan-kawasan Parlimen Gelang Patah, Kluang, Kulai, Bakri, Batu Pahat itu tidak akan membawa apa-apa impak positif kepada rakyat kerana semua projek pembangunan di kawasan ini dibatalkan oleh kerajaan mereka sendiri. Maka jelas sekali ia hanya gimik semata-mata.

Dengan arahan kementerian ini, PBT tidak akan mampu memain peranan yang berkesan kepada rakyat. Mangsa sebenar adalah rakyat Johor, tidak kira Melayu, Cina atau India malah ia termasuk ahli dan penyokong UMNO dan para penyokong JDT.

Kerajaan pusat dan negeri memang berbeza peranannya, tetapi pada hakikatnya mereka adalah dari sebuah parti yang sama yang membentuk kerajaan negeri dan pusat.

Bayangkan, dari kementerian hinggalah PBT, ia digunakan untuk tujuan politik kepartian UMNO-BN. Bukankah ini memangsakan semua rakyat?

Adakah Hahasrin mahu mengatakan hujah-hujah saya ini fitnah? Pembohongan?

Melayu Johor
telah terlalu banyak kita kehilangan
sawah ladang bertukar tangan
pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
yang tinggal hanyalah pakaian
sedarah sedaging hampir hilang
yang ada hanyalah setulang
Selat Tebrau kian sempit
hati rindu jauh tergamit..

– Petikan daripada Sajak ‘Melayu Johor’ Usman Awang.

Ini bukan riak atau takbur. Saya hanya berkongsi fakta. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor