Berita

Najib hanya pandai ‘transfer’ duit, bukan transformasi – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR, 20 APR: Ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan transformasi negara hanya taktik untuk mengabui rakyat tentang kepincangan dan ketirisan yang berlaku, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Hakikatnya, menurut Saifuddin, wawasan 2020 yang sepatutnya membawa negara kepada kemajuan, telah dikhianati Najib dan pengikutnya menerusi pelbagai siri skandal termasuk yang melibatkan syarikat pelaburan bermasalah milik negara, 1MDB.

“Kerajaan UMNO-BN juga ada berikrar akan terus berjuang membela nasib orang Melayu dan Bumiputera sama ada bumiputera Islam atau bukan Islam.

“Adakah ikrar ini hanya untuk sedapkan hati rakyat sedangkan berbilion ringgit hilang entah ke mana. Malah ada bukti wang 1MDB di’transfer’ ke akaun individu secara berjemaah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Najib yang berjanji untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara yang termaju di dunia selaras dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Adakah ini hanya sekadar ‘angan-angan Mat Jenin’ atau impian Najib yang tidak tercapai dek akal? Jika negara maju tetapi rakyatnya mundur, tiada gunanya,” ujar Saifuddin.

Beliau menambah, negara sememangnya mempunyai infrastruktur setanding dengan negara-negara maju, namun ia dimusnahkan oleh mentaliti pemimpin UMNO-BN yang masih di tahap negara ketiga.

“Sudah terlalu banyak ungkapan ‘manis’ ditaburkan untuk mengaburi rakyat dengan cara mengambil harta rakyat secara sedar.

“Yang menambahkan lagi terencatnya, skandal negara dalam pelbagai isu seperti 1MDB, Menteri dan pegawai rasuah jutaan dan bilion ringgit yang menelan duit rakyat,” katanya.

Malah, katanya yang juga Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, rakyat semakin sengsara dan menderita di bawah kerajaan kleptokrasi yang dipimpin Najib Razak.

“Adakah cukup dengan kemajuan yang dicanang tetapi kehidupan rakyat marhaen semakin terhimpit dengan harga barangan yang melambung tinggi dan bebanan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)?” soalnya.

Katanya lagi, kemajuan sesebuah negara tidak harus diukur melalui unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita semata-mata, sebaliknya perlu seiring dengan kemajuan intelek.

“Negara maju bukan sekadar pembangunan ekonomi sahaja tetapi pemikiran juga perlu dipupuk bagi menyeimbangkan dengan gerakan kemajuan negara kita,” katanya. – Roketkini.com