Berita

Zambry Kadir dahulukan industri, gadai nasib penyu Segari

LUMUT, 25 APR: Sikap tidak peduli pihak berkuasa terhadap alam sekitar yang menjadi kawasan pendaratan penyu, hutan paya bakau dan hutan pesisir pantai di Segari di Daerah Manjung, Perak bakal mengundang kemusnahan akibat aktiviti manusia.

Lebih malang apabila sebahagian dari Hutan Simpan Tanjung Hantu dan Hutan Simpan Segari Melintang yang merupakan satu-satunya kawasan pendaratan penyu Pantai Segari di Perak telah dinyahwarta menjadi zon industri oleh kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Akibatnya, kawasan itu terancam dengan dua projek perindustrian yang diluluskan kerajaan negeri melibatkan pembinaan loji membekal gas cecair (LNG) yang diluluskan pada 9 Jun 2011 seluas 60 hektar kepada syarikat Atigas Technology Sdn Bhd dan kilang besi dan keluli Maegma Steel HRC Sdn Bhd (202.35 hektar) pada 25 Jun 2012.

Kelulusan kerajaan negeri kepada dua syarikat swasta tersebut juga telah mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Bantahan itu dibuat kerana bimbang ia bakal memberi kesan kepada alam sekitar, sektor perikanan dan pelancongan setempat memandangkan kawasan tersebut telah dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan 2 (KSAS).

“Kerajaan tahu, mereka dengar masalah ini tapi tidak ambil tindakan,” kata penyelaras dan penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak

Pemandangan matahari terbenam di pantai Pasir Panjang, Segari.

Meor Abdul Rahman kepada media Sambutan Hari Bumi di Segari baru-baru ini.

Malah, apa yang menyedihkan kata Meor, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Segari tidak disenaraikan dalam destinasi Tahun Melawat Perak 2017.

Ini katanya telah menimbulkan lebih banyak persoalan terhadap sikap kerajaan negeri dalam usaha pemuliharaan kawasan pendaratan penyu di negeri itu.

Sudah hantar bantahan dan cadangan

Menurut beliau, pada 19 Februari 2016 lalu, pihaknya telah menghantar memorandum supaya kerajaan negeri mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan perlindungan.

Bagaimana pun cadangan untuk mewartakan kawasan pantai Pasir Panjang hingga ke Tanjung Hantu sebagai kawasan perlindungan telah ditolak jawatankuasa siasatan tempatan Majlis Daerah Manjung.

“Buat masa ini yang positif ialah Jabatan Perikanan di bawah persektuan. Tapi, apa-apa keputusan (berkaitan pewartaan dan tanah) adalah di bawah tanggungjawab Menteri Besar.

“Ini salah satu contoh hutan pantai, jadi kalau ini kita bangunkan, kita tukar status guna tanahnya, kita takkan jumpa lagi hutan pantai di Perak ni. Di Perak hanya ini yang tinggal.

“Tak ada lagi penyelidik datang buat kajian dan masa akan datang kena buat ekspedisi saintifik untuk buat kajian di kawasan ini,” ujarnya.

Jelas beliau, walaupun kempen selamatkan penyu dan bantahan itu telah bermula seawal tahun 2009, namun sehingga kini tidak ada kenyataan rasmi bahawa kedua-dua projek tersebut dihentikan.

“Kita akan teruskan kempen supaya kerajaan negeri perak mewartakan kawasan ini sebagai kawasan perlindungan, Taman Negeri,” katanya.

Dalam syor yang dibuat SAM sebelum ini, kerajaan negeri dicadang supaya kawasan persisiran pantai Segari berkeluasan 262.35 hektar itu diwartakan sebagai kawasan perlindungan Taman Segari di bawah Perbadanan Taman Negeri atau Hutan Simpan Kekal yang dikelaskan sebagai Hutan Taman Negeri mengikut Seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara.

Orang lain untung, orang lain dapat untung

Sementara itu aktivis dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed berkata, pewartaan kawasan pantai Pasir Panjang Segari sebagai Taman Negeri adalah amat penting.

Pemusnahan hutan paya bakau bagi tujuan penternakan udang secara besar-besaran misalnya hanya akan memberi kesan besar terhadap ekosistem.

Tapak pelupusan sampah haram di Manjung.

Antaranya ialah kemusnahan spesis siput, ketam dan ikan yang mendiami kawasan hutan paya bakau akibat pengurusan bahan buangan dari kolam udang yang tercemar dengan bahan kimia berbahaya.

“Jabatan atau penjawat awam yang berkaitan perlulah buat sesuatu. Orang lain dapat untung, orang lain pula terima penangan,” kata beliau yang juga bekas Malaysian Nature Soceity (MNS).

Tegasnya, penjagaan hutan dan alam sekitar bukan sekadar untuk memulihara spesis yang sukar ditemui atau seumpamanya tetapi adalah berkaitan keadilan sosial.

Penyahwartaan sebahagian status hutan simpan itu juga menjadikan sebahagian kawasan hutan tersebut menjadi ‘mangsa’ kepada aktiviti kuari dan pelupusan sampah walaupun tidak mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Berdasarkan data yang diperoleh, keluasan HS Segari Melintang pada saat ini telah menyusut kepada 2,720.79 hektar berbanding keluasan asal antara 4,000 hingga 4,700 hektar. –Roketkini.com