Berita

DAP rakam takziah kepada keluarga Allahyarham adik Mohamad Thaqif

KUALA LUMPUR, 26 APR: DAP hari ini merakamkan takziah kepada ahli keluarga allahyarham adik Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gaddafi, 11, di atas pemergiannya petang tadi.

Mohamad Thaqif meninggal dunia kira-kira jam dua petang hari ini akibat jangkitan kuman setelah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak seminggu lalu ekoran dakwaan disebat pembantu warden asrama sekolahnya.

Teo Nie Ching

Menzahirkan rasa sedih dan kesal, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata nasib malang yang menimpa adik Mohamad Thaqif boleh berlaku akibat kurangnya ketelusan dalam urus tadbir sekolah-sekolah persendirian.

“Kejadian ini perlulah disiasat sepenuhnya dan mereka yang didapati bersalah haruslah diadili sewajarnya,” kata Ahli Parlimen Kulai itu.

Menurut Nie Ching, di bawah Seksyen 29 Akta Kanak-kanak 2001, pengendali pusat jagaan mempunyai tugas untuk melaporkan sebarang penderaan sama ada secara emosi mahu pun fizikal ke atas kanak-kanak.

“Pusat jagaan yang gagal melakukan perkara itu telah melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Tengku Zulpuri Shah

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji berkata kejadian yang menimpa adik Thaqif memberi pengajaran kepada semua pihak.

“Mendidik dan mengajar adalah lebih baik daripada menghukum.

“Kes ini memberi pengajaran pada semua, tidak kisahlah sekolah tahfiz atau sekolah biasa atau tidak, yang pentingnya tahap kesabaran serta disiplin tenaga pengajar mestilah tinggi.

“Kita hanya diamanahkan untuk mendidik mereka, tak perlu maki hamun, pukul dengan keterlaluan, didiklah dengan penuh kasih sayang,” katanya yang juga ADUN Mentakab dan Ketua Pembangkang DUN Pahang. –Roketkini.com