Berita

Jangan sampai insiden menimpa arwah adik Thaqif berulang lagi

KUALA LUMPUR, 27 APR: Penderaan, rogol dan buli melibatkan murid sekolah bukan kejadian asing dalam negara kita.

Namun, kematian dan trauma yang dihadapi mangsa dan keluarga mereka seolah-olah sekadar memenuhi statistik meski ada peruntukan undang-undang yang melindungi.

Dalam insiden terbaru, seluruh negara gempar dengan kematian seorang pelajar tahfiz di Kota Tinggi Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffie, 11, akibat didera pembantu warden asramanya.

Persoalannya, mengapa kejadian sebegini terus berlaku dan mencatatkan peningkatan?

Mohamad Thaqif dan 14 rakannya dilaporkan telah dipukul oleh pembantu warden asrama mereka menggunakan getah paip gara-gara “membuat bising”.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan pada 2003, guru besar hanya dibenarkan untuk merotan pelajar secara ringan di tapak tangan atau bahagian punggung yang berlapik dengan pakaian bagi kesalahan yang dikategorikan sebagai ‘sederhana’ dan ‘berat’.

“Tetapi mengapa garis panduan ini tidak diikuti sekolah terbabit? Siapakah yang bertanggungjawab untuk memastikan semua institusi pendidikan, sama ada awam atau persendirian mengikuti garis panduan yang disediakan Kementerian Pendidikan?” soalnya.

Kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu, mengikut Seksyen 29 Akta Kanak-kanak 2001, pengendali pusat jagaan mempunyai tugas untuk melaporkan sebarang penderaan sama ada secara emosi mahu pun fizikal ke atas kanak-kanak.

Kegagalan mengikut peruntukan itu jelasnya boleh menyebabkan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pembantu warden itu kini sedang direman selama empat hari untuk disiasat. Tetapi siasatan tidak harus terhenti di situ dan perlu dijalankan secara menyeluruh kepada pihak pengurusan sekolah,” ujarnya.

Pelajar sekolah berasrama menghabiskan kebanyakan masa mereka di sekolah berbanding di rumah.

Warden asrama memainkan peranan penting untuk menjaga kebajikan pelajar seperti kesihatan dan juga bertanggungjawab membuat laporan terhadap sebarang penderaan atau layanan buruk.

“Mengapa tidak ada guru, warden yang lain atau kakitangan pentadbiran sedar terhadap penderaan yang sedang berlaku? Sudah berapa lama ia berlaku? Atau mereka mungkin menyedarinya tetapi gagal untuk membela pelajar-pelajar ini?

“Kematian tragik adik Mohamad Thaqif mendedahkan kita terhadap kurangnya ketelusan dalam pengurusan institusi pendidikan persendirian. Insiden ini perlu disiasat secara menyeluruh dan mereka yang didapati bersalah harus menerima hukuman yang wajar,” katanya lagi.

Insiden kematian melibatkan pelajar sekolah agama bukan sesuatu yang baru, pada Januari 2011, seorang murid di sekolah rendah Islam di Arau, Perlis, Saiful Syazani Sopfidee, 7, meninggal dunia selepas dipercayai dipukul guru yang juga warden asramanya menggunakan batang besi.

Selain kematian pelajar, terdapat banyak lagi insiden melibatkan guru dan murid dilaporkan berlaku seperti kes rogol.

Pada tahun 2012, seorang guru di sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh, Kelantan, Yek Hock Soon, 28, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun penjara dan tujuh sebatan atas kesalahan merogol muridnya di makmal sains sekolah itu.

Kes yang sama dicatatkan pada 2017 apabila guru Pendidikan Jasmani, Mohd Ezlie Azram Mohammad Khasasi, 38, didapati bersalah dengan dua pertuduhan merogol anak muridnya dan dijatuhi hukuman penjara 24 tahun 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Selayang. –Roketkini.com