Berita

Kenapa sekolah tahfiz tidak dipantau Kementerian Pendidikan?

KUALA LUMPUR, 27 APR: Sikap berdiam diri kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) berhubung kejadian yang meragut nyawa pelajar sekolah tahfiz, Mohd Thaqif Amin dipersoalkan.

Selain gesaan supaya masyarakat menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa, Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa Wanita DAP, Sangeet Kaur Deo berkata, sehingga kini tidak ada seorang pun menteri yang bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan.

“Pihak berkuasa sudah berkali-kali mengecewakan kita dalam banyak hal. Berapa banyak lagi tragedi yang mahu kita lihat sebelum rakyat Malaysia benar-benar bertindak?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada tragedi yang menimpa kanak-kanak berusia 11 tahun itu akan dipandang oleh kerajaan UMNO-BN sebagai kegagalan pelaksanaan sistem pendidikan atau hanya sekadar kes terpinggir.

“Terdapat aduan bahawa sekolah agama di negara ini tidak termasuk dalam bidang kuasa Kementerian Pendidikan. Mengapa ini boleh berlaku, sedangkan semua sekolah antarabangsa dan swasta dipantau oleh kementerian berkenaan,” ujarnya.

Mohamad Thaqif meninggal dunia kira-kira jam dua petang semalam akibat jangkitan kuman setelah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak seminggu lalu ekoran dakwaan disebat pembantu warden asrama sekolahnya.

Kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematiannya.

Dalam pada itu, Sangeet turut menegur sikap rakyat negara ini yang dilihat mudah membiarkan kes seumpama itu berlalu tanpa sebarang desakan terhadap kerajaan untuk melakukan tindakan menyeluruh bagi memperbaiki sistem sedia ada.

“Mungkin, sudah tiba masanya kita bersikap kurang memaafkan kepada mereka yang telah menggagalkan kita. Mungkin kita perlu mendesak kualiti yang kita mahukan, sekurang-kurangnya mengenai kepentingan anak-anak kita,” ujarnya.

Bagi beliau, sikap sedemikian berakar daripada sikap tidak peduli dan alpa rakyat Malaysia terhadap pelbagai skandal yang membarah di negara ini dari generasi ke generasi.

“Salah urus negara, ketaksuban yang berterusan, rasisme dan sikap tidak bertoleransi di negara ini meresap ke setiap ceruk, di setiap peringkat masyarakat,” ujarnya.

Justeru, katanya, adalah menjadi tugas pihak bertanggungjawab untuk memaknakan semula sistem pendidikan di negara ini dengan penuh keyakinan, kejujuran dan integriti.

“Pendidik, guru-guru dan penjaga berdiri di barisan hadapan untuk membentuk minda yang akan memimpin negara ini,” katanya. – Roketkini.com