Berita

Penduduk puji tindakan pantas DAP Pensiangan hulur bantuan banjir

SOOK, 27 APR: Tindakan pantas DAP Pensiangan menyalurkan bantuan kilat kepada 35 keluarga penduduk kampung yang terjejas akibat banjir besar dekat sini semalam, mendapat pujian dan penghargaan dari mangsa bencana.

Penyaluran bantuan itu dilakukan oleh dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook dan Tulid, Clare Taunek Simbat dan Robinson Rusikan bersama lapan aktivis parti dengan turun membuat tinjauan serta mengagihkan barangan keperluan dapur ke kawasan yang teruk terjejas.

“Ini merupakan satu tindakan pantas dan inisiatif yang dapat kami sumbangkan kepada penduduk kampung walaupun bantuan makanan keperluan asas ini tidak seberapa nilainya,” kata Clare.

Menurutnya, DAP Pensiangan akan terus membuat pemantauan dan menyalurkan bantuan walaupun sumbangan yang diberikan sederhana.

Beliau berharap agar sumbangan yang diberikan ini dapat memenuhi keperluan penduduk yang ketika ini sangat memerlukan bantuan khususnya barangan makanan asas.

Seorang penduduk yang terlibat di Kampung Kiulu Baru, Julikis Daimis melahirkan rasa sangat terharu dan bersyukur kerana DAP sudi menghulurkan bantuan kepada penduduk dan berharap supaya wakil rakyat kawasan berkenaan turut datang memberikan bantuan.

Kata Julikis, banjir besar yang berlaku semalam telah mengakibatkan beliau mengalami kerugian yang banyak kerana hasil tuaian getahnya yang di kumpul selama enam tahun hanyut bersama banjir. -Roketkini.com

*Kee Helmy merupakan Pegawai Perhubungan dan Media DAP Pensiangan