Berita

Kata-kata kesat pemimpin PAS burukkan imej Islam

MENTAKAB, 28 APR: Cercaan pemimpin PAS dengan perkataan jelik terhadap saingan politiknya jelas tidak menggambarkan sikap seorang agamawan Islam yang baik kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji.

Kenyataan ini dibuat mengulas tindakan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir yang melaungkan ‘Jahanam PAN’ dalam perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS ke-56 di dewan Sekolah Rendah Darul Ulum, Alor Setar, Kedah semalam.

“Apa yang diucapkan oleh Ketua Ulama PAS Kedah itu tidak mengambarkan seorang agamawan Islam, ia mencerminkan sikap fanatik.

“Seolah-olah pendapat daripada kumpulan lain yang tidak sehaluan dengan pendirian mereka dianggap musuh Islam atau mungkin juga kafir harbi dan sebagainya,” katanya kepada Roketkini.

Tindakan Ketua Dewan Ulama PAS itu melaungkan perkataan ‘Jahanam PAN’ sejurus membaca ikrar dan laungan takbir kata ADUN Mentakab itu, tidak mencerminkan kematangan pemimpin PAS berpolitik dan lari dari ajaran Islam.

“Ia hanya mengelirukan umat Islam khususnya pengikut PAS.

“Adakah ini berlaku kerana mengikut acuan pemimpin mereka sendiri yang sebelum ini yang memaki-hamun dengan perkataan biawak, anjing, butir tahi, barua, keldai dan sebagainya,” soal ADUN Mentakab itu.

Sikap suka mencemuh dan mengeji yang semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin PAS saat ini katanya memberi gambaran parti itu menuju kepada kekerasan.

“Tidak peliklah kalau ramai orang bukan Islam membantah rang undang-undang persendirian yang mereka bawa, sesama orang Islam pun mereka jahanamkan,” kata Tengku Zul lagi. –Roketkini.com