Berita

Ugutan kepada graduan hanya akan melahirkan ‘pemakan dedak’

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Budaya menghalang pemikirian kritis melalui pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) mula menunjukkan kesannya apabila ramai graduan gagal menampilkan perwatakan berani dan berdaya saing dalam menghadapi era globalisasi masakini.

Kesan daripada itu juga, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, satu perempat daripada graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta negara ini gagal mencari pekerjaan manakala 45 peratus daripada mereka menerima gaji bulanan RM1,500 dan ke bawah.

“Kini adalah sukar untuk menemukan graduan yang berketrampilan dan yakin diri. Kebanyakan syarikat yang merungut bagaimana rendahnya kemahiran sosial dan komunikasi graduan kita.

“Mereka tidak mampu untuk memimpin dan menerajui, sebaliknya menjadi pengikut yang hanya mampu menghafal nombor fail dan mematuhi manual prosedur semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ia sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman yang dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima jika mereka secara terbuka mengkritik kerajaan.

Kritikan dilihat sebagai satu cara untuk seseorang individu itu melontarkan pandangan secara kritis mengenai sesuatu peristiwa yang melibatkan kepentingan awam.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, ugutan yang dilakukan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) seumpama itu bukanlah kali pertama, malah ia akan berlanjutan jika mereka terus diberi kuasa.

“Anak muda, apatah lagi yang paling cerdas fikirannya di negara ini tidak harus ditakut-takutkan daripada menjalankan hak mereka yang sah, bukan sahaja sebagai warganegara yang bertanggungjawab tetapi juga sebagai pelajar yang kritis,” ujarnya.

Malah, menurutnya, kerajaan tidak berminat untuk memastikan pembangunan modal insan melahirkan individu yang berkualiti, “sebaliknya hanya sibuk memastikan kepatuhan melalui paksaan bagi membolehkan mereka kekal berkuasa”.

“Saya menyeru agar anak muda sekalian teruskan berfikir dan bersuara. Usah gentar dengan ugutan dan momokan rejim penguasa. Adalah tanggungjawab generasi muda untuk menyedar dan mencerahkan bangsa Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.com