Berita

Cabaran anak rantau Kapit pulang sambut Gawai

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Setiap kali menjelang Pesta Gawai dan Tadau Kaamatan, sahabat-handai kita di perantauan akan pulang ke tanah Borneo menyambut hari kesyukuran musim menuai padi.

Bagi Sarawak, Pesta Gawai disambut pada setiap 1 dan 2 Jun manakala Pesta Kaamatan pula disambut pada 30 dan 31 Mei di Sabah dan merupakan cuti umum bagi kedua-dua negeri.

Roketkini sempat bersua muka dengan Paren Nyawi di ibu pejabat DAP Kebangsaan baru-baru ini yang merupakan salah seorang aktivis DAP di Daerah Kapit bercerita tentang sambutan Gawai di sana.

Jika di kawasan bandar orang ramai akan bersesak-sesak menaiki bas dan kereta pulang ke kampung halaman, lain pula suasana yang dapat dilihat di Kapit kata Paren.

Terminal bot Kapit akan sesak dengan penumpang malah ada yang terpaksa duduk di atas bumbung kerana bot telah penuh.

“Inilah antara cabaran balik kampung di Kapit setiap kali pulai Gawai (pulang menyambut Gawai) yang menggunakan pengangkutan sungai,” kata beliau yang merupakan anak jati Song, sebuah pekan kecil di daerah Kapit.

Namun, mungkin pada tahun ini akan ada sedikit perbezaan ujar Paren kerana Jambatan Katibas yang menghubungkan Pekan Song dan Kapit dijangka akan dibuka kepada kenderaan.

Secara sinis beliau berkata setelah sekian lama menunggu dan mengundi Barisan Nasional (BN), kini sedikit sinar pembaharuan dapat dinikmati generasi muda yang dah lama berjalai (berjalan) setiap kali balik Gawai.

“Itu pun selepas 50 tahun Sarawak membentuk Malaysia baru dapat jambatan.

“Sekurang-kurangnya Kembara “Pulai Gawai” (pulang menyambut Gawai) tahun 2017 ini, penduduk punya alternatif jika bot penumpang sesak lagi,” ujarnya.

Janji untuk membina jambatan dan jalan baru di daerah ini bukanlah cerita baru dan merupakan modal politik setiap kali menjelang pilihan raya.

“Semasa perjalanan pulang dari Bandar Sibu ke Pekan Song baru-baru ini, saya sempat berbual dengan penumpang yang menetap di Semenanjung balik menyambut Gawai.

“Dia berkata walaupun sudah belasan tahun merantau meninggalkan kampung, tidak banyak perubahan ketara yang dapat dilihat di sini,” ujarnya.

Dalam temubual sebelum ini Paren juga pernah menceritakan mengenai keadaan di Pekan Song di mana 75 peratus daripada pengangkutan harian penduduk menggunakan laluan air.

“Hanya Sungai Rajang sahaja satu-satunya jalan penghubung ke Pekan Song dan Pekan Kapit dari Bandar Sibu buat masa ni.

“Tambahan pula, jalan raya Sibu-Kapit belum siap lagi, jadi kita harus terima kenyataan menjelang waktu cuti memang keadaan sesak di jeti seumpana ini biasa berlaku,” kata Paren. –Roketkini.com