Berita

SPRM tidak perlu berdolak-dalih

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Sanggahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan bahawa agensi itu mengamalkan sikap pilih kasih dalam keputusan kontroversinya untuk tidak bertindak ke atas ahli politik yang sedang disiasat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan media sebagai berkata: “Itu bukan pilih kasih. Cuma ambil masa sedikit. Jika kita tidak ambil tindakan terus, itu pilih kasih. Saya rasa sebagai KP, saya lebih mengetahui bila masa yang sesuai untuk bertindak.”

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa SPRM pilih kasih dalam menjalankan tugasnya ekoran keputusan tersebut, tidak berpuas hati dengan kenyataan Dzulkifli itu.

“Mengejutkan apabila Dzukifli tetap dengan pendiriannya meskipun sangat jelas bahawa ramai pihak tidak menerima dengan baik kenyataannya itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Dia patut tahu bahawa kata-kata seperti ‘saya tahu bila masa yang sesuai’ atau ‘saya pasti akan bertindak terhadap mereka yang melakukan rasuah’ tidak menyakinkan sesiapa yang mempersoalkan mengapa perlu ada ‘layanan istimewa’ terhadap ahli politik.”

Apa yang lebih membingungkan beliau adalah kenyataan Dzulkifli bahawa “jika kita tidak ambil tindakan terus, itu pilih kasih”.

“Bagaimana tindakan terus dianggap sebagai pilih kasih? Tidak mengambil tindakan segera terhadap ahli politiklah sebenarnya amalan dwi-standard,” katanya.

Kenyataan Dzulkifli itu juga, katanya, bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini bahawa dia tidak ditekan mana-mana pihak sejak mengambil alih SPRM.

“Jika begitu kenapa tiba-tiba kata tidak akan ada tindakan terhadap ahli politik sebelum PRU? Adakah keputusan itu ada kena mengena dengan penahanan dan pendakwaan berprofil tinggi melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor berhubung hal tanah?

“Persoalannya adalah mengapa keputusan untuk melambatkan tindakan terhadap ahli politik itu dibuat sedangkan tindakan terhadap Exco Johor itu telah meningkatkan reputasi SPRM,” katanya.

Bekas Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latiff Bandi didakwa di Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada 19 April lepas atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.

Kata Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, kegiatan rasuah di negara ini semakin menjadi-jadi dan ditahap yang membimbangkan, justeru memerlukan komitmen penuh SPRM untuk membanteras kegiatan jenayah itu.

“Saya percaya kenyataan Dzulkifli itu tidak mendapat sokongan terbuka daripada mana-mana parti politik. Mengapa SPRM perlu bimbang masalah politik apabila parti politik sendiri tidak merasa bimbang pun?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru Barisan Nasional (BN) dan kerajaan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha SPRM menentang jenayah rasuah.

“Kabinet sepatutnya perlu mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa ia tidak bersetuju dengan keputusan SPRM yang hanya akan mengenakan tindakan terhadap ahli politik selepas PRU,” ujarnya. – Roketkini.com