Berita

Najib Razak antara lima pemimpin dunia paling tak popular

GELANG PATAH, 24 MEI: “Rakyat Malaysia tidak tahu mahu ketawa atau menangis!” itu reaksi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang apabila mendapat khabar bahawa Datuk Seri Najib Razak ‘duduk sebaris’ dengan Donald Trump sebagai pemimpin dunia paling tidak popular.

Majalah berita antarabangsa TIME dalam satu artikel semalam menyenaraikan Perdana Menteri Malaysia itu sebagai antara lima pemimpin dunia yang kurang popular berbanding Presiden Amerika Syarikat berkenaan.

Ironinya, pada hari sama penerbitan artikel itu, Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan kerajaan pimpinannya sebagai kononnya kerajaan nombor satu di dunia semasa pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Bagaimanapun, kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, tahap populariti Najib Razak itu bukanlah perkara yang begitu mengejutkan kerana Presiden UMNO itu memang telah dibuktikan kurang disenangi rakyat melalui pelbagai tinjauan tempatan mahupun antarabangsa.

Sebagai contoh, katanya pada Februari tahun ini, hasil tinjauan kumpulan pemikir kerajaan negeri Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati Najib Razak merupakan perdana menteri paling tidak popular dalam sejarah negara.

“Dapatan itu juga selari dengan tinjauan yang lain, seperti tinjau Edelman Trust Barometer 2017 yang mendapati bahawa tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap institusi penting, termasuk kerajaan, telah menurun.

“Jadi, siapa yang rakyat Malaysia akan percaya? – Najib atau tinjauan-tinjauan antarabangsa dan tempatan berkenaan?” katanya.

Artikel TIME menyebut ‘global kleptokrasi’ dan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bagi merampas lebih AS$1 bilion dana yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan bermasalah negara, 1MDB sebagai punca populariti merudum Najib Razak. – Roketkini.com