Berita

Imej SPRM tidak akan bersih selagi tidak selesai kes 1MDB, SRC International

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menunjukkan keberkesanan dalam menjalankan tugasnya melalui penangkapan individu berprofil tinggi sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun usaha membersihkan imej SPRM kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak akan mencapai matlamatnya selagi dilihat ‘menjadi alat’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila skandal mega melibatkan 1MDB dan SRC International tidak diselesaikan.

Sebagai perbandingan, katanya, pihak berkuasa Singapura dalam tempoh setahun lalu telah mendakwa ramai individu yang kemudiannya didapati bersalah terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram yang dipindahkan melalui sistem perbankan negara itu.

Terbaru, katanya, seorang remisier didapati bersalah memberi suapan sebanyak S$3,000 kepada seorang penyelidik bagi menyediakan laporan positif kepada cadangan pengambilalihan Petrosaudi Oil Services Limnited (PSOSL) bernilai AS$2.4 bilion oleh 1MDB.

Manakala di Malaysia pula,  siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati pindahan itu tidak mematuhi arahan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, selain tidak teratus serta gagal ujian urus korporat jelas Tony lagi.

“Mengapa ketika pihak berkuasa Singapura bertindak melakukan pendakwaan dan sabitan terhadap mereka yang didapati bersalah ekoran pindahan tersebut, di Malaysia pula SPRM tidak hampir sikit pun menyelesaikan siasatannya.

“Malah, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah berkali-kali enggan mengesahkan sama ada siasatan ada dibuat terhadap pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB yang mana telah menyusahkan rakyat Malaysia dengan bebanan hutang sebanyak RM42 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesannya, kekerapan tangkapan yang dilakukan SPRM tidak akan mengubah tanggapan rakyat terhadap agensi itu yang dilihat berat sebelah apabila hanya mengambil tindakan terhadap “anak ikan dan bukannya jerung gergasi”.

“Lebih-lebih lagi apabila kita sedia maklum, yang mana tidak dinafikan perdana menteri, Najib Razak sendiri bahawa sekurang-kurangnya AS$731 juta yang berasal daripada 1MDB dan RM69 juta berasal daripada SRC International Sdn Bhd telah masuk ke akaun Ambank Bhd miliknya,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad sebelum ini berkata agensi itu tidak akan mengambil tindakan terhadap ahli politik yang rasuah sebelum pilihan raya umum (PRU) ekoran bimbang ia dijadikan modal berkempen. Beliau juga menepis dakwaan tindakan itu sebagai piluh kasih.

“Itu bukan pilih kasih. Cuma ambil masa sedikit. Jika kita tidak ambil tindakan terus, itu pilih kasih,” katanya seperti dilaporkan media.

Bagaimanapun, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, kegagalan SPRM mengenakan tindakan terhadap ahli politik yang korup itulah sebenarnya tindakan pilih kasih.

“Bukan tugas SPRM untuk masuk campur dalam politik dan kempennya. Tugas SPRM adalah untuk mendakwa orang yang korup, tidak kira ia perdana menteri atau pegawai kerajaan bawahan.

“Perlembagaan meletakkan semua rakyat Malaysia sama di sisi undang-undang,” katanya.

Malah, katanya yang juga Pengerusi DAP Selangor, kempen bagi menentang pegawai politik yang korup adalah penting dan sebahagian daripada konsep demokrasi perwakilan.

“Rakyat harus diberi peluang untuk mendengar dan memahami semua fakta relevan, supaya mereka boleh membuat pilihan berpengetahuan semasa PRU,” katanya.

Justeru, beliau mengesa Dzulkifli menggunakan kuasa yang ada pada SPRM untuk mengambil tindakan segera dan tanpa kompromi terhadap ahli politik yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana negara serta melakukan rasuah. – Roketkini.com