Berita

Jangan biarkan Malaysia terjerumus dalam radikalisme – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Sikap fanatik yang menjerumuskan manusia ke dalam kancah huru-hara merupakan hasil dari bibit-bibit kebencian, ketakutan, sikap tamak kelompok tertentu demi kepentingan politik dan kuasa.

Sudah tentu, jalan ekstrem itu muncul dari hilangnya pertimbangan kemanusiaan apabila sanggup menggadaikan sikap toleransi dan wasatiyyah yang merupakan tonggak keamanan negara dan masyarakat.

Malang lagi apabila sebahagian dari rakyat negara ini gagal untuk memahami konsep demokrasi yang meraikan kepelbagaian pendapat mengikut lunas-lunas Perlembagaan apabila menyalahgunakan ruang kebebasan itu dengan menabur kebencian dan fitnah.

“Di saat rakyat Malaysia bersedih dengan huru-hara di Manchester, Mindanao dan Jakarta yang dilanda pengeboman dan darurat, kita tidak boleh leka membiarkan negara ini terjerumus ke kancah politik kebencian yang mengatasnamakan bangsa dan agama,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan radikal sebuah akaun facebook ‘DAP Laknatullah’ yang telah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Ahli Majlis DAP Selayang, Edry Faizal Eddy Yusof.

Dalam ugutannya terhadap Edry, pengendali akaun tersebut memuat naik imej dengan kenyataan fitnah kononnya Edry berkata: ‘SEJARAH 13 MEI HANYA SATU DONGENG. GENERASI MUDA PATUT LUPAKAN SEJARAH 13 MEI. DAP TIADA KAITAN’.

Dalam masa yang sama pengendali akaun itu turut memuat naik statusnya: “Apakata kalau Tragedi 13 Mei berlaku lagi..?? Kali nie cari hawau anjing Democratic Action Party pastu kita lanyak dan salai dia hidup2”.

Apa yang menghairankan, walaupun laporan polis telah dibuat, akaun ‘DAP Laknatullah’ itu bukan sahaja masih aktif malah mengecam tindakan Edry membuat laporan polis.

“Adakah individu atau pihak yang bertanggungjawab mengendalikan akaun facebook ‘DAP Laknatullah’ itu dilindungi?

“Bayangkan apa akan berlaku jika wujud sebuah akaun facebook atau laman sesawang ‘UMNO Laknatullah’ yang memuat naik ancaman dan fitnah terhadap pemimpin-pemimpin UMNO termasuk ugutan bunuh terhadap mereka, apa tindakan polis jika ada laporan dibuat?

“Tidak dapat dinafikan lagi dalam tempoh yang singkat, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan mengambil tindakan sepatutnya  dengan memadamkannya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang menegaskan, DAP sama sekali tidak akan terlibat dalam politik pembohongan, kebencian dan politik ketakutan dan ia perlulah dihentikan serta-merta.

“Jika kerajaan Najib sekarang ini tidak mahu rasa bersalah atas tindakan pilih kasih, beliau perlulah pastikan kerajaan Malaysia benar-benar adil, seimbang dan cemerlang berlandaskan prinsip-prinsip kesederhanaan seperti yang pernah diucapkannya dalam Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berteraskan Perlembagaan Malaysia dan Rukunegara,” katanya lagi. –Roketkini.com