Berita

DAP, Impian Perak pastikan hari raya lebih bermakna buat keluarga sembilan beranak

IPOH, 8 JUN: Kesulitan yang dihadapi Siti Aishah Razak, 73 dan sembilan lagi ahli keluarganya di Kampung Seri Kinta dekat sini mendapat perhatian DAP Perak.

Ekoran kemiskinan, Siti Aishah tidak mampu untuk membaiki bumbung rumahnya yang bocor sehingga memaksa mereka sekeluarga berhimpit di satu penjuru ruang tamu bagi mengelak ditimpa hujan.

Prihatin dengan masalah tersebut, Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, pihaknya telah mengarahkan supaya kerja-kerja membaiki bumbung di rumah Siti Aishah dimulakan pada minggu depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 Jun akan datang.

“DAP berharap, dengan pembaikan bumbung rumah tersebut, keluarga Siti Aishah akan mempunyai satu tempat tinggal yang lebih baik, dan impian Siti Aishah akan direalisasikan.

“Kami juga berharap keluarga Siti Aishah akan dapat meraikan Hari Raya yang akan datang ini dengan lebih bermakna,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Kah Woh yang juga Adun Canning turut menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada anak Siti Aishah yang ditimpa kemalangan jalan raya pada Disember tahun lepas.

Ia, katanya, adalah sebahagian daripada inisiatif Projek Impian Perak yang dilancarkan DAP Perak pada dua tahun lepas bertujuan untuk membantu rakyat negeri yang terpinggir selain membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Walaupun wakil-wakil rakyat pembangkang negeri Perak dinafikan peruntukkan oleh Kerajaan Negeri BN, tetapi DAP Perak akan terus membantu warga Perak yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum dan agama,” ujarnya. – Roketkini.com