Berita

‘Mengaku atau nafi sahaja kamu bayar Shafee RM9.5 juta. Apa yang susah?’ – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya perlu mengaku atau menafikan sama ada beliau memilik tiga akaun Ambank yang aktif sewaktu pembayaran dibuat kepada peguam, Tan Sri Shafee Abdullah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pendirian berdiam diri bukanlah pilihan jika Najib mahu rakyat Malaysia malahan masyarakat dunia mempercayai bahawa beliau sememanganya berpegang pada prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Justeru, katanya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu hanya perlu mengesahkan atau menafikan dakwaan mengenai pembayaran sebanyak RM9.5 juta yang dibuat melalui akaun peribadi miliknya kepada Shafee.

“Kenapa Najib rasa begitu susah untuk buat perkara yang begitu senang?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan hari ini.

31 Mei lepas, laman pembocor maklumat, Sarawak Report mendakwa Najib membayar Shafee sebanyak RM9.5 juta menerusi akaun Ambank miliknya – yang mana turut menerima wang daripada anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pembayaran itu dikaitkan dengan lantikan Shafee sebagai ketua pendakwaraya semasa rayuan bagi menentang keputusan tidak bersalah melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam dakwaan liwat pada 2014.

Pihak kerajaan sebelum ini mendakwa kononnya Shafee hanya menerima RM1,000 sahaja bagi tugasnya itu. – Roketkini.com