Rencana

Jagung sudah dirudu gajah, baruk gago nak masang pagar

Kecoh, kamboh, riuh sekejap kita semua di Sarawak baruk tok. Nya stegal isu Cukai Pelancongan ya. Isu tok sebenarnya agak menarik juaklah. Menariknya sampey arum bulak dalam tempoh 24 jam ajak ada berapa kali ndak kah berbalas kenyataan dari pihak Nazri Aziz ngan sidak di Sarawak di sambut juak oleh sidak Sabah. Kiranya setegal isu tok pandey bergabong indah sidak Borneo dikerjanya.

Kemuncak isu tok bila kerajaan negeri Sarawak molah statement madah sidak narit dirik dari Malaysia Tourism Board secara serta merta. Keputusan ya nang kira kamek anggap sebagai drastik tapi nang berani. Sarawak yang selamak tok adalah fixed deposit kepada Barisan Nasional tang ada berani ngambik keputusan untuk “melawan” keputusan kerajaan persekutuan. Bukan ya ajak, malah bersindir  beranok melalui statement masing-masing.

Untuk satu rang undang-undang diluluskan ada beberapa peringkat yang perlu dilalui bukannya lalu lulus gia ajak. Pertama, ia akan melalui proses perbincangan dgn pihak kerajaan negeri, NGO, agensi-agensi kerajaan dan macam-macam gik pihak yang akan terlibat. Pasya, sesi merangka Rang Undang-undang (RUU) dengan macam-macam kajian yang terlibat lalu di mbak ke jemaah menteri.

Kakya sidak jemaah menteri gik akan ngecek balit ngan sidak Jabatan Peguam Negara ngan agensi-agensi yang terlibat apa kelebihan dan kekurangan benda tok bila dilaksanakan kelak. Mun semua tek dah dipersetujui oleh sidak jemaah menteri, RUU ya akan dibincang dengan sidak Ahli Parlimen Kerajaan.

Bila dah sampey peringkat tok, andai kata sidak ahli parlimen kerajaan ya tiba-tiba sik nyokong RUU ya tek, maka ia sik akan di bentang di Parlimen. Tapi bila semuanya setuju, RUU ya akan dibentang dan dibahaskan di dewan rakyat dan dewan Negara berdasarkan kepada peraturan parlimen. Kasya lah baruk RUU ya dijadikan sebagai Akta atas perkenan dari Yang di-Pertuan Agong juaklah.

Jadi berbalit kepada kisah RUU Cukai Pelacongan 2017 tok tek.  Mun kitak orang nang sentiasa ngekot perkembangan sidang parlimen mungkin kitak orang akan tauk ceritanya. RUU tok diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5  April 2017, hanya beberapa minit jak lagik mok pukul 5 pagi. Bayangkan kitak orang bila Nazri Aziz tok cuma bahas RUU tok lebih kurang 3 jam ajak. Dan sikda sorang pun ahli parlimen Sarawak yang mencelah. Hanya beberapa orang ahli parlimen pembangkang seperti Anthony Loke dengan Lim Guan Eng.

Mungkin perkara tok sik dapat liputan gilak tapi sebenarnya sehari sebelum RUU tok dibentang dan diluluskan ya, udah ada sidak di Sarawak yang menyatakan kebimbangan sidak bila cukai tok mula dilaksanakan kelak. Dan kebimbangan tok dinyatakan bukan oleh sidak YB atau ahli parlimen Sarawak tapi dari sidak Malaysia Association of Hotels (MAH) Sarawak Chapter, saudara Roy Ting.

Katanya dalam sigek temubual sidak berasa kecewa sebab nengar tax yang akan dilaksanakan dalam masa 2 bulan lagik dan sidak hanya dapat maklumat yang sikit jak berkaitan dgn isu tok. Sikda notis rasmi atau pekeliling diedar dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Dan bukan nya sorang jak bah yang terkejut. Saudara Johnny Wong sebagai pengerusi Sarawak Central Region Hotel Association juak menyatakan mun cukai tok dilaksanakan maka secara lansung nya akan berik impak yang teruk kepada kawasannya dan nya juak sangat membantah RUU tok sejak dari ia dicadangkan tahun lepas.

Malah Datu Ik Pahon Joyik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak  yang sedia maklum tentang perkara tok juak madah kerajaan negeri Sarawak belum di mbak berondeng dengan lebih lanjut lagik.

Tinggal kurang dari sebulan cukai yang akan bermula 1 Julai kelak, tiba-tiba Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mintak tangguh perlaksanaan cukai tok, mintak dibincang balit.  Sori pok, Benda udah jadi. Udah lulus. Salah siapa?

Oleh sebab wakil dari Sarawak yang mintak tangguh, bagi kamek lah tok semua salah 25 orang ahli parlimen Sarawak. Sidak sik mewakili Sarawak dalam hal tok. Sidak cuma mewakili Putrajaya. Sidak  ikut jak apa kata persekutuan. Dan bila dah jadi macam tok, bertemu pulak dengan menteri samseng.

Nama pun menteri nang ditauk samsengnya, dan RUU pun udah diluluskan memang patutlah nya marah bila isu tok tiba-tiba jak disebut balit. Tapi bila nya mula nganok Datuk Karim, benda tok lalu jadi isu bagi orang Sarawak terutamanya.

Apa Nazri Aziz ya nya mikir nya sorang jak dah lamak dalam politik? Orang lain pun dah lamak juak bah terlibat dalam politik tapi sikda orang kelaka besar. Jangan jak nya lupak mun bukan setegal Sarawak ngan Sabah tok fixed deposit untuk BN, mungkin dah 2 penggal dah kali sidak pembangkang jadi kerajaan Malaysia oi.

Dan dalam temubual nya nak pertama ya,nya siap madah lagik, mikir dirik nya sik tauk kah pasal Perlembagaan Sabah dan Sarawak. Nang jak nya lupak! Sabah dan Sarawak adalah “equal partner” dengan Tanah Melaya.

Udahlah royalti minyak kebanyakannya pulang ke semenanjung, nya masih boleh nak kelaka sombong gilak. Masih boleh madah pakey sebelah tangan pun nya dapat ngitong hotel 5 bintang di Sarawak. Bila ndak nya last datang ke Sarawak kah? Kenak nya sikmok ngitong hotel di Perak nun?

Sedar sik kitak orang betapa teruknya ekonomi kita kinek tok? Dari segi pelancongan, kononnya mun cukai tok dilaksanakan dapat membantu pembangunan Negara kita. Tapi sik terfikir kah kenak ada orang membangkang pelaksanaan cukai tok? Sebab kinek tok pun industri perhotelan agak teruk di Sarawak.

Mun cukai tok diteruskan boleh jadi makin kritikal lah nya kelak. Sik nampak kah dengan penutupan pejabat-pejabat kementerian pelancongan sebelum tok adalah berpunca dari kerugian. Sik paham macam ney dengan melaksanakan cukai tok akan lebih banyak membantu industri pelancongan kita.

Kamek harap benda tok jadi pengajaran dan pakey bukak mata seluruh rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya. Kebanyakan menteri dari semenanjung tok sik hormat pun dengan negeri kita, cara kita. Dan sidak memang sik mikir kesusahan rakyat seluruh Malaysia. Sebab apa? Sebab sidak dah senang.

Nyalah senang sebab kita tok sanggup meletak sidaknya berkuasa selamak tok. Kita marah bila barang nait harga. Kita bising bila minyak sekejap jak turun tapi selalunya nait ajak. Sedih dan kesal jak rasa bila segala dak kesusahan ya seolah sikda maksud bila masa pilihanraya, kitak orang tetap mangkah calon BN.

Kita dah lamak berkompromi dengan sidaknya. Bukan jak berulang kali perasaan kita diguris sidak, malah kita tok nang kedak anak tiri jak. Bila perlu baruk gago bercarik, baruk dibait. Ingat kitak orang masa pilihanraya lok? Arum bulak tiap hari kita tok keluar tv. Kinek tok? Mun ada, ada. Mun sikda, kita nak bising apa? Kita mpun sudi dan rela diperlakukan gia. Ingat rakyat Sarawak, rakyat Sabah. Ingatkan balit sidak kerajaan persekutuan yang kita tok adalah equal partner dengan Tanah Melaya. Bayangkan apa lagik yang boleh jadi di masa depan. Kita berhak nentu halatuju negeri kita.jangan nandah semuanya dikawal oleh sidak persekutuan.

Dan jangan lupak, kita juak ada hak menentukan kerajaan yang kita suka, kerajaan yang lebih prihatin dengan rakyat. Setiap kesusahan pasti ada Harapan. Tinggal kita mpun jak gik maok atau nisik perubahan ya.

 

TERJEMAHAN

Kecoh, gamat, riuh sekejap kita semua di Sarawak baru ini. Semuanya berpunca dari isu Cukai Pelancongan itu. Isu ini sebenarnya agak menarik juga. Menarik kerana dalam tempoh 24 jam sahaja ada dalam berapa kali berbalas kenyataan dari pihak Nazri Aziz dengan pihak di Sarawak dan diikuti  juga oleh pihak di Sabah. Kiranya kerana isu ini kita di Bornea boleh bersama bergabung.

Kemuncak isu ini apabila kerajaan negeri Sarawak mengeluarkan kenyataan yang mereka menarik diri dari Malaysia Tourism Board secara serta merta. Keputusan tersebut saya anggap sebagai drastik tetapi berani. Sarawak yang selama ini adalah fixed deposit kepada Barisan Nasional secara tiba-tiba berani mengambil keputusan yang “melawan” keputusan kerajaan persekutuan. Bukan itu sahaja, malah bersindir  dan mengutuk melalui kenyataan masing-masing

Untuk satu rang undang-undang diluluskan ada beberapa peringkat yang perlu dilalui bukannya terus lulus begitu saja. Pertama, ia akan melalui proses perbincangan dgn pihak kerajaan negeri, NGO, agensi-agensi kerajaan dan macam-macam lagi pihak yang akan terlibat. Seterusnya, sesi merangka Rang Undang-undang (RUU) dengan macam-macam kajian yang terlibat lalu di bawa ke Jemaah menteri.

Kemudian,para jemaah menteri pula akan menyemak semula dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan agensi-agensi yang terlibat apa kelebihan dan kekurangan perkara ini bila dilaksanakan kelak. Jika semua nya dah dipersetujui oleh pihak jemaah menteri, RUU itu akan dibincang dengan pihak Ahli Parlimen Kerajaan.

Apabila sudah di peringkat ini, andai kata pihak ahli parlimen kerajaan ini tiba-tiba tidak menyokong RUU itu tadi, maka ia tidak akan di bentangkan di Parlimen. Tapi apabila semuanya setuju, RUU ya akan dibentang dan dibahaskan di dewan rakyat dan dewan Negara berdasarkan kepada peraturan parlimen. Kemudian barulah RUU  itu dijadikan sebagai Akta atas perkenan dari Yang di-Pertuan Agong.

Jadi berbalik kepada kisah RUU Cukai Pelacongan 2017 ini tadi. Jika kalian memang sentiasa mengikuti perkembangan sidang parlimen mungkin kalian akan tahu cerita nya. RUU ini diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5  April 2017, hanya beberapa minit sahaja lagi sebelum pukul 5 pagi. Bayangkan kalian bila Nazri Aziz cuma bahas RUU ini lebih kurang 3 jam sahaja. . Dan tiada seorang pun ahli parlimen Sarawak yang mencelah. Hanya beberapa orang ahli parlimen pembangkang seperti Anthony Loke dengan Lim Guan Eng

Mungkin perkara ini tidak mendapat liputan sangat tapi sebenarnya sehari sebelum RUU ini dibentang dan diluluskan, sudah ada pihak di Sarawak yang menyatakan kebimbangan mereka jika cukai ini mula dilaksanakan kelak. Dan kebimbangan ini dinyatakan bukan oleh para YB atau ahli parlimen Sarawak tapi dari pihak Malaysia Association of Hotels (MAH) Sarawak Chapter, saudara Roy Ting.

Ujar beliau dalam satu temubual mereka merasa kecewa kerana mendapat tahu bahawa cukai tersebut akan dilaksanakan dalam masa 2 bulan lagi dan mereka hanya mendapat sedikit maklumat sahaja yang berkaitan dgn isu ini. Tiada notis rasmi atau pekeliling diedar dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Dan bukan beliau seorang sahaja yang terkejut. Saudara Johnny Wong sebagai pengerusi Sarawak Central Region Hotel Association juga menyatakan jika cukai ini dilaksanakan maka secara lansung ia akan memberi impak yang teruk kepada kawasannya dan beliau juga sangat membantah RUU ini sejak dari ia dicadangkan pada tahun lepas.

Malah Datu Ik Pahon Joyik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak yang sedia maklum tentang perkara ini juga menyatakan bahawa kerajaan negeri Sarawak belum diajak berunding dengan lebih lanjut lagi.

Tinggal kurang dari sebulan cukai yang akan bermula 1 Julai kelak, tiba-tiba Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah minta ditangguh perlaksanaan cukai ini, minta supaya dibincang semula. Maaf sahabat, benda sudah jadi. Sudah lulus. Salah siapa?

Oleh kerana wakil dari Sarawak yang minta penangguhan, bagi saya ini semua salah 25 orang ahli parlimen Sarawak. Mereka ini tidak mewakili Sarawak dalam hal ini. Mereka cuma mewakili Putrajaya. Mereka  ikut saja apa kata persekutuan. Dan apabila dah jadi perkara seperti ini, bertemu pula dengan menteri samseng.

Nama pun menteri yang diketahui tahap samsengnya, dan RUU pun telah diluluskan memang patutlah beliau marah bila isu ini tiba-tiba berbangkit. Tapi bila beliau mula menyindir Datuk Karim, benda ini terus menjadi isu bagi orang Sarawak terutamanya.

Apa Nazri Aziz fikir yang beliau seorang saja ke yang dah lama dalam politik? Orang lain juga sudah lama terlibat dalam politik tapi tidak pun bercakap besar. Janganlah beliau lupa kalau bukan kerana Sarawak dan Sabah ini fixed deposit untuk BN, mungkin sudah 2 penggal barangkali pihak pembangkang jadi kerajaan Malaysia lah!

Dan dalam temubual beliau yang pertama itu,beliau siap menyatakan lagi bahawa beliau tahu tentang Perlembagaan Sabah dan Sarawak. Ternyata beliau memang lupa! Sabah dan Sarawak adalah “equal partner” dengan Tanah Melaya.

Sudahlah royalti minyak kebanyakannya digunakan untuk semenanjung, beliau masih boleh bersikap angkuh. Masih boleh mengatakan yang sebelah tangan pun beliau dapat kira hotel 5 bintang di Sarawak. Agak bila lah kali terakhir beliau datang ke Sarawak? Lebih baik beliau kira saja hotel di Perak sana?

Sedarkah kalian betapa teruknya ekonomi kita kini? Dari segi pelancongan, kononnya jika cukai ini dilaksanakan maka dapat membantu pembangunan Negara kita. Tapi tidak terfikir kah kita mengapa ada orang membangkang pelaksanaan cukai ini? Ini adalah kerana industri perhotelan agak teruk kini di Sarawak.

Jika cukai ini diteruskan boleh jadi makin kritikal lah ia kelak. Tidak nampak kah dengan penutupan pejabat-pejabat kementerian pelancongan sebelum ini adalah berpunca dari kerugian. Bagaimana dengan melaksanakan cukai ini akan lebih banyak membantu industri pelancongan kita.

Saya berharap perkara ini akan jadi pengajaran dan dapat membuka mata seluruh rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya. Kebanyakan menteri dari semenanjung ini tidak hormat pun dengan negeri kita, cara kita. Dan mereka memang tidak memikirkan kesusahan rakyat seluruh Malaysia. Sebab apa? Kerana mereka sudah senang.

Senang kerana kita ini sanggup meletak mereka berkuasa selama ini. Kita marah bila barang naik harga. Kita bising bila minyak sekejap turun tapi selalunya naik. Sedih dan kesal bila segala kesusahan tadi seolah tiada maksud bila masa pilihanraya, kalian tetap memangkah calon BN.

Kita sudah lama berkompromi dengan mereka. Bukan saja berulang kali perasaan kita diguris, malah kita ini dianggap seperti anak tiri saja. Bila perlu barulah tercari-cari, barulah dilayan baik. Ingatkah kalian semasa pilihanraya negeri yang lepas? Saban hari berita dari negeri kita ini  keluar di televisyen. Sekarang? Kalau ada, adalah. Kalau tiada, kita nak bising apa? Kita sendiri sudi dan rela diperlakukan sebegini.

Ingat rakyat Sarawak, rakyat Sabah. Ingatkan kerajaan persekutuan yang kita ini adalah equal partner dengan Malaya. Ini baru permulaan. Bayangkan apa lagi yang boleh jadi di masa depan. Kita berhak menentukan halatuju negeri kita. Jangan biar semuanya dikawal oleh pihak persekutuan.

Dan jangan lupa, kita juga ada hak menentukan kerajaan yang kita suka, kerajaan yang lebih prihatin dengan rakyat. Setiap kesusahan pasti ada Harapan. Tinggal diri kita sendiri mahu atau tidak dengan perubahan. – Roketkini.com