Berita

Lebih RM160 juta duit rakyat digunakan JASA sebar dakyah BN

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Salah guna dana awam bagi membantu kempen politik parti tertentu jelas tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi apabila diperalatkan untuk menyebar dakyah dan berita palsu.

Namun, itulah yang menjadi amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila mempergunakan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai alat propaganda dan dakyah mereka.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak hampir RM160 juta dari tahun 2011 hingga 2017 kepada agensi tersebut.

“Malang sekali jutaan ringgit wang negara digunakan untuk menyebarkan dakyah dan berita palsu,” kata Ahli Parlimen Kluang itu dalam kenyataan hari ini.

Disebalik keghairahan BN memperuntukan puluhan juta ringgit setahun kepada JASA, kerajaan bertindak mengurangkan peruntukan untuk sektor berkepentingan rakyat seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata demikian menempelak kenyataan JASA yang tersebar di media sosial mengulangi dakwaan palsu pemimpin UMNO Johor Jais Sarday berkenaan insiden samseng bazar Ramadan Kluang kononnya berlaku kerana DAP pernah meminta tapak bazar itu dipindahkan pada 2007.

Sedangkan dalang sebenar pemindahan bazar tersebut ialah MCA dan diakui sendiri oleh bekas Adun MCA Mengkibol, Gan Ping Sieu.

“UMNO gunakan jentera propaganda kerajaan itu untuk mudahkan tohmahan palsu dan melakukan pendustaan terhadap pesaing politiknya.

“Jabatan seperti itu wajar dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, supaya kerajaan boleh berbelanja untuk perkara yang memanfaatkan rakyat kebanyakan, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam.

“Saya menyeru Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengarahkan JASA yang terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya supaya menghentikan penyebaran berita palsu sebagai alat pendakwaan politik,” katanya lagi.

Berikut disenaraikan peruntukan tahunan yang diberi untuk membiayai JASA:

2011 – RM 21,759,400

2012 – RM 21,392,000

2013 – RM 23,127,100

2014 – RM 24,572,800

2015 – RM 21,718,100

2016 – RM 22,801,000

2017 – RM 22,886,500 – Roketkini.com