Berita

Pemimpin PAS mohon maaf kerana fitnah DAP, Amanah

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Seorang pemimpin PAS, Razman Zakaria hari ini mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di atas tindakannya memuat naik poster fitnah memburuk-burukkan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Permohonan maaf itu dibuat setelah peguam Hanifa Maidin yang mewakili Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir memberi masa 14 hari untuk Razman membuat permohonan maaf lapor Malaysiakini.

Perkongsian poster fitnah jahat bertajuk ‘SEJARAH YANG BERULANG’ dimuatnaik Pesuruhjaya PAS Perak itu antara lain cuba memberi persepsi negatif kononnya Amanah merupakan proksi DAP.

Ia memaparkan gambar Chin Peng bersebelahan Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya manakala gambar pimpinan AMANAH diletak bersebelahan dengan gambar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Razman yang juga baru dilantik sebagai Bendahari Agung PAS Pusat juga sedang berhadapan kes saman fitnah oleh Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dalam kes tahun 2015 itu, Nizar memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya.

Ia ekoran sebuah rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun bertajuk Pendekatan Nizar mirip DAP yang dilihat cuba menjatuhkan dan memburukkan imej serta nama baik bekas Menteri Besar Perak itu. –Roketkini.com