Berita

DAP, PPBM buat laporan SPRM gesa siasat individu seleweng dana 1MDB

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Saranan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang menggalakkan orang ramai supaya ‘berani’ melaporkan salah laku rasuah kepada agensi tersebut mendapat dokongan pemimpin politik dan orang awam negara ini.

Terbaru, empat laporan jenayah penyelewengan 1MDB telah dibuat pagi tadi kepada agensi anti-rasuah tersebut rentetan pendedahan terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) Khamis lalu.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Segambut, Mahathir Mohd Rais dan dua lagi ahli PPBM.

“Kami hadir di pejabat SPRM Kuala Lumpur pagi ini adalah untuk membuat suatu laporan rasmi berkaitan tindakan terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Khamis lalu yang mendakwa terdapat individu-individu tertentu yang telah menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB untuk membeli harta di luar negara.

“Kami juga hadir hari ini sebagai sokongan kepada SPRM yang melancarkan Sahabat SPRM untuk mengajak orang ramai bersama membanteras jenayah rasuah dengan SPRM,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menyenaraikan beberapa penama dan aset yang didakwa diselewengkan dari dana 1MDB seperti yang didedahkan DOJ seperti berikut :

Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low:

-Kapal layar mewah “The Equanimity” berukuran 300 kaki (AS$250 juta)

-berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri “Malaysian Official 1” (AS$28.6 juta)

-barang kemas untuk model Australia, Miranda Kerr (AS$9.9 juta)

-barang kemas untuk ibunya bersama dengan cincin pertunangan untuk wanita yang tidak dikenali (AS$2.84 juta)

-karya seni Jean-Michel Basquiat untuk pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio (AS$9.2 juta)

-lukisan Picasso untuk pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio (AS$3.2 juta)

-Hotel mewah L’Ermitage , Beverly Hills (AS$44.8 juta)

-Oriole mansion, Beverly Hills (AS$38.98 juta)

-Time Warner penthouse, New York (AS$30.55 juta)

-Park Laurel condominium, New York (AS$23.98 juta)

-Hillcrest Road mansion, Beverly Hills (AS$17.5 juta)

-Greene condominium, New York (AS$13.8 juta)

-Pejabat Stratton, London (42 juta pound)

-Stratton penthouse dan flat Stratton, London (35 juta pound)

-Qentas townhouse, Belgavria, London (17 juta pound)

-sebahagian Hotel Park Lane, New York (jumlah harga pembelian AS$654 juta)

Anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – Riza Aziz:-

– Belgravia townhouse, London (AS$41.79 juta)

– Hillcrest Road mansion, Beverly Hills (AS$35.5 juta)

– poster filem terhad “Metropolis” (AS$1.2 juta)

poster filem terhad “Wizard of Oz” (AS$75,000)

Menurut kenyataan itu, pada 1 September 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam satu temu bual dengan British Broadcasting Corporation (BBC) mengesahkan ‘Malaysian Official 1’ yang dinamakan oleh DOJ dan dikaitkan dengan 1MDB adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (http://www.bbc.com/news/av/business-37241725/pm-najib-named-as-malaysia-official-1-in-1mdb-scandal).

“Maka, isteri “Malaysian Official 1” yang juga dinamakan oleh DOJ jelasnya adalah Datin Seri Rosmah Mansor.

“SPRM diminta menyiasat dakwaan DOJ itu dengan merakam keterangan isteri “Malaysian Official 1”, Miranda Kerr, ibu dan tunang Low Taek Jho, Leonardo DiCaprio dan semua pihak yang terbabit.

“Aset mereka di Malaysia harus disita sementara siasatan dijalankan,” kata laporan itu lagi. –Roketkini.com