Rencana

Menjejak Hang Tuah sebagai model Malaysia baru

Pada November tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan suatu pelan masa depan yang baru, sekaligus membelakangi Visi 2020 yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad sebelum ini.

Pelan baru tersebut melihat kepada tahun 2050; ada lebih kurang 33 tahun lagi untuk kita ke sana. Perdana Menteri menggelarnya TN50.

Semasa TN50 dilancarkan, Kementerian Pengajian Tinggi mempersembahkan sebuah naratif pendek yang merenung dengan imaginasinya akan keadaan orang Melayu pada zaman 2050 nanti.

Ikon dalam imaginasi tersebut diberi nama Firdaus Imtiaz. Beliau fasih dalam lima bahasa, dan merupakan seorang hafiz sejak berumur 13 tahun. Beliau graduan ijazah triple major – Matematik, Perakaunan dan Syariah – dari Universiti Islam Malaysia. Firdaus seorang pengembara dunia, terbang ke sana sini menaiki jet peribadi Honda SU2050. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SU Corporation, sebuah syarikat berasaskan prinsip Islamik, Firdaus melawat New York, pusat perniagaan kuasa dunia, “bagi tujuan menyelesaikan pembelian pejabat korporat bersebelahan Trump Tower di depan Central Park, New York.”

Apabila terbaca, bulu tengkuk saya naik: Hebat!

Tapi sejujurnya, mengapa perlu tunggu 33 tahun lagi sampai 2050 untuk merealisasikan Melayu ideal ini?

Dan jikalau kita periksa hikayat Melayu klasik, imaginasi tentang Melayu ideal sebegini bukan benda baru.

Hang Tuah sebagai Melayu ideal

Pada awal kurun ke-18, lebih kurang satu generasi selepas perikatan Belanda-Johor menyerang dan menakhluk Melaka yang dijajah Portugis, penulis Hikayat Hang Tuah melakar watak wiranya, Hang Tuah, anak Hang Mahmud dan Dang Merdu, seperti berikut:

Hang Tuah fasih dalam 12 bahasa, dan merupakan seorang hafiz apabila umurnya tidak sampai 10 tahun. Dia pernah mengaji dengan tiga orang mahaguru – Aria Putera, Sang Persanta Nala, dan Syeikh Mansur. Dia seorang pengembara dunia, menjelajah ke sana sini menaiki Mendam Berahi, kapal jong Sultan Melaka. Sebagai Laksamana kerajaan Melayu Melaka, Hang Tuah melawat Istanbul, pusat perdagangan kuasa dunia ketika itu, untuk membeli 800 pucuk meriam daripada Raja Rom.

Nampak persamaannya?

Sama ada Hang Tuah wujud atau tidak, biar ia menjadi bicara para ahli sejarah sahaja. Bagi saya, cerita Hang Tuah ini, seperti kata-kata Kassim Ahmad, menggambarkan “cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu.” Dalam kata lain, inilah Melayu ideal dalam imaginasi nenek moyang kita ratusan tahun dahulu.

Soalannya, apakah yang terjadi dalam masa 300 tahun ini?

Kini sudah 2017, mengapa kita masih perlu menanti 33 tahun lagi untuk mencapai apa yang saya kira sebagai hanya kurang-daripada-separuh idealisme Hang Tuah, yang sekarang dijenama semula dengan nama Arabnya, “Firdaus Imtiaz” oleh United Malays National Organisation?

Ke mana hilangnya 300 tahun ini?

300 tahun yang hilang

Melayu kaum majoriti bumi ini. Itu realiti yang tidak dapat dipertikaikan.

Namun, 300 tahun dari Hikayat Hang Tuah itu, dan 60 tahun selepas Merdeka, 71 tahun dari penubuhan parti Melayu terbesar United Malays National Organisation, psyche ataupun jiwa Melayu masih belum mencapai keyakinan Melayu ideal yang purba itu. Ini secara tidak langsung diakui oleh United Malays National Organisation sendiri apabila ia mengetengahkan sasaran sampai 2050 bagi melahirkan “Firdaus Imtiaz”.

Psyche ini juga dapat diperhatikan dalam seruan politikus agar Melayu bersatu waima di bawah pemimpin-pemimpin yang diselubungi tuduhan rasuah, salahguna kuasa dan tersangkut dengan skandal kewangan global.  

Politik semacam inilah sebenarnya sekian lama menghakis, dan bukan membina keyakinan Melayu. Penyatuan Melayu sedemikian rupa bukan simbol kekuatan, sebaliknya sindrom kegelisahan yang mendalam.

Kesannya, Melayu menjadi takut dan sentiasa berada dalam mode berwaspada (siege mentality) walaupun hidup di tengah keamanan. Seperti Don Quixote, musuh imaginasi timbul di setiap pelosok. Sekejap Cina menjadi momok, sekejap lagi Kristian, kemudian DAP, CIA, komunis, senarainya tidak berpenghujung.

Lihatlah kepada Hang Tuah.

Dalam Hikayat Hang Tuah, Laksamana agung itu tidak takut untuk bergaul dengan bangsa lain. Bukan setakat bergaul biasa, malah Hang Tuah menonjolkan akhlak yang begitu tinggi terhadap orang tua-tua bangsa lain – Cina, India, Arab, Eropah – sehingga mereka menyayanginya bagai anak sendiri. Ya, Hang Tuah memang ada ayah Cina, yakni ayah angkatnya.

Ke mana hilangnya 300 tahun ini?

Pada hari ini, ada puak pelampau yang sering memberi amaran kepada orang Melayu, jangan baca buku bangsa lain, jangan pergi sekolah bangsa lain, malah disuruh hapuskan sekolah Cina dan sekolah Tamil. Mereka berpendapat bahawa Melayu tiada apa-apa yang boleh belajar dan tidak patut belajar daripada bangsa lain, nanti sesat dan kafir jadinya.

Jauh berbeda dengan Laksamana Hang Tuah.

Hang Tuah yang ramai kenal merupakan seorang hulubalang dengan ilmu persilatan yang tinggi. Namun dalam Hikayat Hang Tuah, kehebatan Laksamana tidak terletak pada silatnya semata-mata. Dia seorang pemimpin yang berkaliber, sering membantu sultan dan raja menyelesaikan masalah negara. Hang Tuah juga memasyhurkan nama Kesultanan Melayu Melaka dengan kemahiran diplomatik beliau apabila beliau dihantar sebagai duta ke Patani, Bijaya Nagaram (Vijayanagar, India), China, Rom dan kerajaan-kerajaan besar zaman itu.

Satu cerita yang jarang disebut: Hang Tuah menyelamatkan kerajaan Patani  daripada krisis matawang dengan mencadangkan kepada rajanya, Pra Chau, untuk menukarkan matawang yang rapuh dengan “gendaga” yang berharga dari Brunei.

Ke mana hilangnya 300 tahun ini?

Berani belajar daripada orang lain

Hang Tuah berani bergaul malahan dia berani berguru dengan bangsa lain. Belajar ilmu bangsa lain tidak menjadikan Hang Tuah terhakis Melayu-nya. Sebaliknya, kerana kesanggupan untuk belajar seluas-luasnya itulah yang menjadikan Hang Tuah hero Melayu tersohor yang kita kenal pada hari ini.

Fikirkanlah: Hang Tuah tidak akan fasih bertutur dalam 12 bahasa termasuk bahasa Cina dan India, serta begitu memahami sosio-budaya serta politik tamadun-tamadun besar pada zaman itu jika dia sekadar menjadi Pak Turut laungan “Hidup Melayu” yang menaburkan sangsi dan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu terhadap bangsa lain.

Abad sebelum Portugis menyerang Melaka, dunia Barat berada dalam Zaman Gelap. Falsafah Yunani agung Socrates, Plato, Aristotle sudah lenyap di Barat. Gereja menjadi sangsi terhadap “ilmu dan filsafat sesat” lalu berfatwa melarang pembelajarannya.

Namun, apabila cahaya ilmu sedang malap di Barat, suluh hikmah bersinar terang di dunia Islam. Karya Yunani, Cina, Sanskrit (India) diserap semacam si haus berjumpa air oleh cendekiawan Islam didorong dan disokong oleh kalifah-kalifah mereka. Bait al-Hikma, ditubuhkan di Baghdad sebagai pusat intelektual antarabangsa, menggalakkan pembelajaran serta penerokaan segala ilmu pengetahuan.

Dan jika bukan kerana sesetengah ilmuan Kristian melanggar arus pemikiran kolot Gereja, memberanikan diri menelaah karya-karya pemikir Islam seperti Al-Farabi, Ibn Khaldun, Al-Kindi, lalu mengembalikan semula falsafah Barat lama yang telah lenyap itu, tamadun Barat mungkin tidak terkeluar daripada Zaman Gelap mereka.

Malaysia masa depan: Hang Tuah atau Firdaus Imtiaz?

Apa yang saya cuba nak sampaikan ialah ini:

Dalam pada negara kita sedang menempuhi suatu masa yang amat sukar sebagai sebuah masyarakat yang majmuk, kita sebenarnya berpunya model hebat daripada tradisi silam nenek moyang. Dia tidak takut atau resah dengan pluralisme and kemajmukan, malah dia meraikan kepelbagaian sebagai suatu hikmat dan rahmat. Dengan demikian, Hang Tuah menjadi hero agung sejarah Melayu sepanjang zaman.

Justeru, kita lebih baik mencari semula Hang Tuah yang purba daripada mengejar Firdaus Imtiaz yang futuristik, seorang yang UMNO tidak berani bayangkan boleh bertutur dalam bahasa Cina dan Tamil, bahasa jirannya, kendatipun fasih lima bahasa. Jelas sekali, kegelisahan Melayu UMNO tetap diimaginasikan ke masa hadapan. – Roketkini.com

Steven Sim ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Ahli Lembaga Pengarah Penang Institute.