Berita

Pembangkang Sabah eratkan hubungan di rumah terbuka DAP Tawau

TAWAU, 4 JULAI: Musim perayaan memberi peluang baik bagi mengeratkan lagi hubungan antara parti-parti pembangkang di Sabah khususnya Pakatan Harapan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Silaturahim yang kian terjalin rapat itu dapat dilihat dengan kehadiran menggalakkan pemimpin dan penyokong  Warisan, Amanah dan PKR ke Majlis Rumah Terbuka DAP Tawau dekat sini malam tadi.

Menurut Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin, kehadiran bekas Ahli Parlimen Silam (1982-1986) Abdillah Halim mengetuai rombongan Warisan menunjukkan hubungan DAP dan Warisan khususnya  semakin baik.

“Kehadiran menggalakkan dari penyokong dan pemimpin parti Warisan bahagian Tawau – Kalabakan merupakan isyarat bahawa akar umbi mahukan kerjasama.

“Hanya dengan kerjasama politik perubahan mampu tercapai, Pakatan Harapan peringkat kebangsaan menentang BN manakala parti-parti tempatan bersama PH pula menewaskan regim BN Sabah,” kata Adun Sri Tanjong itu kepada media.

Majlis itu juga dihadiri oleh Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong; Naib Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon; Penolong Setiausaha, Tan Lee Fatt; Ketua DAPSY Sabah, Vincent Fung; Ahli Jawatanuasa DAP Sabah, Amsi Liew; Ketua Penerangan PKR Kalabakan, Imam Shahrul; Ketua AMK Kalabakan, Asis Bakri; Pengerusi Amanah Tawau, Arbani dan ramai lagi. – Roketkini.com