Berita

Hasil laut Sabah ‘dirompak’ nelayan asing, DAP persoal ketegasan kerajaan

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Pencerobohan kapal-kapal nelayan asing di perairan Sabah perlu dilihat sebagai krisis negara yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara kata DAP Sabah.

Selain ancaman keselamatan, kemasukan mereka juga telah menyumbang kepada kerosakan hidupan marin dan terumbu karang selain menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan.

Sehubungan itu, satu usul tergempar telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggesa kerajaan bertindak segera dan tegas menangani perkara tersebut.

Usul itu telah dihantar pada Rabu oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin dan Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

Merujuk kepada laporan badan antarabangsa World Wide Fund for Nature (WWF) kata Stephen, isu penangkapan ikan secara berlebihan di Sabah berada dalam tahap kritikal.

“Kapal (dari) Vietnam dilaporkan dilihat menggunakan pukat tunda di perairan Sabah dan penggunaan kaedah tersebut tidak dibenarkan,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Sabah.

Kaedah itu jelasnya telah memusnahkan sumber pencarian dan permintaan tempatan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong pula mendedahkan hasil laut yang semakin berkurangan akibat pencerobohan nelayan haram ini telah mencetuskan kebimbangan besar kepada rata-rata nelayan tempatan.

“Ada laporan mengatakan, sebahagian harga makanan laut meningkat sehingga 60 peratus,” kata Penasihat DAP Sabah itu.

Dedahnya, walaupun ada sebahagian nelayan asing ini memiliki lesen menangkap ikan laut dalam, kaedah menangkap ikan yang digunakan adalah diharamkan kerana merosakkan ekosistem marin.

“Memandangkan ada bot-bot nelayan asing ini ‘sah’ kerana mungkin ada penglibatan kepentingan orang tempatan, saya menggesa menteri menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas,” gesa Jimmy.

Beliau turut memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini yang menyatakan komitmen kerajaan bertegas terhadap kapal-kapal nelayan asing haram yang merompak sumber laut negara ini. – Roketkini.com