Berita

Akta Rahsia Rasmi tekan media, bodohkan rakyat

PETALING JAYA, 17 OGOS: Kekangan untuk menzahirkan maklumat tertentu akibat halangan  Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) secara langsung memberi kesan kepada kebebasan media menyalurkan maklumat kepada rakyat negara ini.

Ketua Pengarang The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq, OSA telah menyebabkan laporan melibatkan penyiasatan media terganggu apabila maklumat yang diperolehi wartawan tidak dapat digunakan akibat kekangan akta tersebut.

Jahabar berpandangan, meskipun wujud kebebasan media di Malaysia, namun kebebasan tersebut amat terhad.

Beliau turut berkongsi bagaimana kerajaan menggunakan undang-undang untuk menyekat akses kepada portal The Malaysian Insider yang diketuainya pada 2016 lalu.

Sekatan tersebut dibuat kononnya telah melanggar Suruhanjaya Multimedia Malaysia 1998 di bawah seksyen 233.

“Sebagai wartawan, tugas kami adalah untuk sahkan, sahkan dan sahkan maklumat, tapi OSA ini jadi halangan.

“Rakyat Malaysia perlu ada dan diberi maklumat, perlu dimaklumkan-barulah boleh buat pembaharuan kepada negara,” katanya dalam Forum ‘OSA: Time to Renew or Repeal?’ di Gerak Budaya malam tadi.

Walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan OSA, perjuangan membentuk masyarakat bebas bermaklumat telah dirintis kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 [Enakmen 16] telah diwartakan pada 2 Februari 2012 dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2015 manakala di Selangor pula telah diwartakan pada 25 Ogos 2011 dan berkuatkuasa mulai 5 Mac 2013.

Enakmen ini bertujuan mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan untuk memberi peluang kepada setiap individu mendapatkan daripada jabatan atau agensi-agensi negeri melalui permohonan yang dikemukakan.

Tiada tempat dalam masyarakat moden

Ahli panel dalam forum ‘OSA: Time to renew or repeal?’

Sebarang dokumen meski pun tidak melibatkan keselamatan negara boleh diklasifikasikan oleh kerajaan sebagai ‘Sulit’ di bawah OSA.

Menurut peguam dan aktivis hak asasi manusia, Syahredzan Johan, OSA memberi kuasa kepada menteri, menteri besar atau ketua menteri, dan juga kepada mana-mana penjawat awam yang dilantik untuk mengklasifikasikan apa-apa dokumen datau maklumat sebagai ‘Rahsia’, ‘Terhad’ atau ‘Sulit’.

“Akta ini memberi kuasa seluasnya kepada kerajaan untuk mengklasifikasikan apa-apa jua dokumen atau maklumat sebagai rahsia.

“Contohnya, adik saya membuat urusan perniagaan dengan kerajaan, ia boleh diklasifikasi sebagai sulit dan jadi dokumen rahsia,” katanya.

Menurutnya lagi, keadaan itu menyebabkan kesalahan yang disabitkan di bawah akta tersebut sukar dicabar individu yang didakwa dan memungkinkan lebih banyak penyelewengan dilindungi.

“Sudah tentu ada beberapa perkara yang perlu dirahsiakan seperti keselamatan seumpamanya. Namun ia perlu dipinda.

“Akta sebegini tak ada tempat dalam masyarakat moden sekarang,” katanya lagi. – Roketkini.com