Berita

Paksa tahanan pakai baju lokap, SPRM salah guna kuasa

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: DAP menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaksa individu yang ditahan bagi tujuan siasatan memakai baju lokap berwarna oren sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, individu yang ditahan atau direman tidak kira pemimpin pembangkang mahupun Barisan Nasional (BN) tidak wajar dilayan seperti pesalah sebelum dibuktikan bersalah di mahkamah.

“SPRM tidak wajar mengaibkan, merendahkan martabat, atau menghina dengan memaksa mereka memakai baju lokap berwarna oren sewaktu dibawa ke mahkamah.

“Tindakan itu seolah-olah menghukum mereka bersalah atas tuduhan rasuah sedangkan perbicaraan pun masih belum bermula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu justeru bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran yang menyatakan bahawa tindakan SPRM itu adalah menyalahi undang-undang.

“Surendran betul apabila mengatakan bahawa amalan (pemakaian secara paksa baju lokap) itu melanggar prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, malah bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang kebebasan individu.

Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad antara pemimpin yang kelihatan memakai baju lokap berwarna oren dengan logo SPRM ketika pemohonan reman dibuat terhadap mereka di mahkamah baru-baru ini.

Phee dibebaskan setelah mahkamah memutuskan perintah reman terhadapnya sebagai tidak sah, manakala Isa Samad yang dikaitkan dengan pembelian dua hotel di London dan Kuching pula direman selama lima hari bagi tujuan siasatan. – Roketkini.com