Berita

Kerajaan Malaysia perlu bincang dengan Bangladesh, tangani krisis Rohingya

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Kerajaan Malaysia dan Bangladesh perlu mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Pakatan Harapan (HARAPAN) berpandangan ini perlu dilakukan memandang kedua-dua negara itu menerima kesan secara langsung daripada kemasukan beramai-ramai pelarian Rohingya.

Selain itu, HARAPAN juga meminta semua pihak agar memberi peluang kepada pemimpin Myanmar, Ang San Su Kyi untuk membina Myanmar Baru yang memberi keadilan dan kebajikan kepada rakyatnya.

“Tekanan antarabangsa kepada beliau (Su Kyi) khususnya, diharap dapat membuat beliau menghentikan pembunuhan dan pembulian itu serta merta,” kata HARAPAN dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Yunus; Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari; dan Ahli Parlimen Kapar (PKR), Manivanan Gowin.

Bagi kesejahteraan dan kestabilan di Rakhine, menurut HARAPAN, tentera Myanmar atau kumpulan bersenjata Rohingya, jika ada, hendaklah mengadakan genjatan senjata dan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian antara mereka.

Di pihak kerajaan pula, kata gabungan pembangkang itu, dicadang membentuk pakatan ketenteraan ASEAN bagi menjaga keselamatan di Rakhine dalam tempoh tertentu.

Sementara itu, kata mereka, tindakan kerajaan Myanmar menghalau etnik Rohinya dari negara itu bukanlah pilihan yang bijak.

“Ia adalah seumpama menghalau penduduk New York di Amerika Syarikat supaya pulang ke England.

“Ketabahan, keikhlasan dan jati diri Rohingya sewajarnya digembleng untuk sama-sama membangunkan negara Myanmar Baru yang demokratik dan bertamadun,” kata HARAPAN. – Roketkini.com